Kuala Lumpur 23 Julai : UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikatakan berada dalam momentum terbaik menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika diadakan dalam tempoh terdekat, menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat).
Beliau khuatir jika menunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU15, UMNO bakal ‘terkena tempias negatif’ khususnya daripada aspek ekonomi yang mampu memberi imej tidak baik kepada parti. Tok Mat berkata sebaik-baiknya diadakan pilihan raya tersebut adalah dari Ogos sehingga selewatnya-lewatnya akhir tahun ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertemuan bersama jentera pilihan raya BN negeri Perlis di Dewan Warisan, Kangar.
Tok Mat juga berkata G5 UMNO (pimpinan tertinggi) akan bincang mengenai tarikh PRu15 dan MOU dengan PH. Beliau menyuarakan hasrat supaya tidak disambung MOU itu supaya UMNO bebas daripada ikatan perjanjian dan sekali gus memudahkan parti memberi pandangan kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden parti berhubung soal pembubaran parlimen.
Beliau yakin kini UMNO berada dalam momentum yang terbaik, oleh itu sikap menangguh pembubaran parlimen akan memberi kesan kepada BN keseluruhannya.
Dalam isu yang berkaitan, Datuk Adnan Seman tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang hanya akan mengumumkan keputusan pindaan Perlembagaan UMNO dua minggu lagi sedikit sebanyak menjejaskan persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dipetik dari laporan Utusan Malaysia, Datuk Adnan Seman yang juga merupakan seorang peguam menjelaskan, kelewatan itu disebabkan RoS memerlukan masa untuk meneliti maklumat tambahan mengenai permohonan pindaan mengadakan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
“UMNO perlu buat persiapan kalau perlu diadakan pemilihan, jadi segeralah putuskan, masa sedang berjalan,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjangkakan RoS membuat keputusan terhadap pindaan perlembagaan parti dalam tempoh dua minggu lagi.
Sebelum ini, RoS memaklumkan keputusan permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya 16 Julai lalu.