Kuala Lumpur 17 Julai : Perhimpunan Agung parti-parti politik dalam negara kini semakin tidak mendapat perhatian. Apa tidaknya, ia lebih tertumpu kepada power struggle sesetengah pemimpin yang telah lama berkecimpung di dalam politik tanahair. Secara tidak langsung, negara tidak berkembang dan terbantut bakat kepimpinan. Pusing-pusing adalah watak yang sama. Di dalam perhimpunan juga, isu negara dan perpaduan tidak begitu mendapat perhatian ahli mahupun media. Lebih kepada cerita jawatan politik.
Semalam di Kongress Nasional PKR, sekali lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa isu ‘sokongan PM’. Kali ini dengan nada yang berbeza. Menurutnya, jika beliau mahu menjadi PM sewaktu ‘Langkah Sheraton’ tempohari, sememangnya boleh, tetapi tidak berjaya kerana dirinya tidak mahu tunduk kepada ‘kluster mahkamah’ dari UMNO.
Anwar berkata demikian dihadapan 2600 perwakilan PKR seluruh negara, dan menambah bahawa jika ahli-ahli PKR sudah bosan dengan janji beliau mempunyai sokongan dan bakal menjadi PM, mereka boleh mencari calon lain. Dengan tegas beliau menyatakan dirinya tidak kisah, tidak akan berputus asa dan akan terus bersedia berhadapan semula di Pilihanraya Umum ke 15.
Namun, seluruh negara tahu bahawa Tan Sri Muhyiddin yang telah berjaya mendapat sokongan paling ramai ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri sewaktu Langkah Sheraton. Kenyataan Anwar di atas hanya sekadar menutup kegagalannya berkali-kali untuk menjadi PM . Mungkin hanya ahli-ahli PKR yang tegar mempercayai kata-katanya.
Juga di kongres tersebut, dendam kesumat musuh lama juga dimainkan oleh Anwar, kononnya akan membongkar segala skandal yang ada pada Tun Daim Zainuddin, rakan rapat kepada Tun Dr Mahathir.
Anwar berkata walaupun Daim disebut dalam senarai ‘Pandora Papers’ (senarai ahli politik korup dunia) , namun tiada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa. Anwar ingin memastikan perkara ini disiasat jika beliau menjadi PM.
Adakah rakyat Malaysia perlukan lagi episod-episod pembunuhan karektor ahli-ahli politik tua untuk naik ke jawatan tertinggi ? Rakyat Malaysia sudah muak dengan perkara begini yang telah berlaku hampir sedekad sejak 1MDB didedahkan. Banyak aib dimainkan, namun tiada penyelesaian menyeluruh, malah rakyat dan negara semakin terbelakang. PRU15 kelak majoriti rakyat tidak akan termakan lagi kempen hasutan sebegini. Rakyat mahu mara ke hadapan dengan pemimpin yang baru, segar dan tiada liabiliti politik lama.
Pada masa yang sama Anwar mendapat tentangan dari pemimpin muda dari PKR iaitu Rafizi. Rafizi sering dilihat tidak sehaluan dengannya. Namun dalam kongres itu, Anwar berkata kelak Rafizi akan sealiran dengannya kerana kini Rafizi memegang jawatan tertinggi PKR sebagai Timbalan Presiden PKR. Pasukan Rafizi juga majoriti kini menguasai kepimpinan pusat. Kenyataan Rafizi bahawa sudah cukup masanya untuk menjadi ‘pembodek Anwar’ dan menumpukan seluruh jentera PKR melawan UMNO di pilihanraya, menunjukkan bahawa pemimpin muda itu mahu mengorak langkah ke depan tanpa dibebani liabiliti atau populariti lama. Namun Anwar tetap menafikan bahawa ada pergolakkan antara beliau dan Rafizi mahupun Setiausaha Agung Saifudin Nasution dengan kem Rafizi.
Di dalam kongres tersebut, PKR mengakui bahawa mereka kurang mendapat sokongan orang Melayu. Kemenangan parti itu banyak bergantung kepada kaum Cina terutama parti DAP di dalam Pakatan Harapan atau Pakaran Rakyat sebelum itu. PKR menang dan berjaya menjadi kerajaan pusat pada PRU14 lalu adalah disebabkan parti pecahan UMNO, Bersatu di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad berjaya memberi sokongan Melayu kepada pasukan PKR + DAP dibawah payung PH. Kini kuasa undi Melayu luar bandar berada pada UMNO dan PAS, Melayu bandar dan atas pagar terbahagi antara UMNO dan Bersatu, manakala undi bukan Melayu dijangka kekal bersama tonggak utama PH iaitu DAP.
Masih belum ada formula kemenangan yang terbukti selain dari formula PH pada PRU14 lalu. Jika musuh BN tidak bersatu di bawah satu gabungan, maka nasib PKR akan terus mengharap untuk tokohnya, Anwar, kekal menjadi ‘Bakal Perdana Menteri’ sampai bila-bila.
Tun Dr Mahathir ? Tan Sri Muhyiddin ? Anwar Ibrahim ? Ismail Sabri ? Zahid Hamidi ? Najib Razak ? Malaysia perlukan lebih dari mereka ini semua. Dunia telah berubah pantas kepada digital. Politik Malaysia masih kekal di era 70an.
foto : Malay Mail