spot_img
spot_img

Waris Sultan Sulu tidak dapat aset Petronas

spot_img

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan ‘Final Award’ dituntut pihak tertentu yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu telah pun digantung oleh Mahkamah Rayuan Paris di Perancis semalam.

Berita gembira tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi kenyataan hari ini.

“Mahkamah berkenaan membenarkan permohonan daripada kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan ‘Final Award’ yang bertarikh 28 Februari 2022 lalu,” jelasnya.

- Advertisement -

Malahan ujar beliau, asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris itu adalah kerana perintah berhubung ‘Final Award’ dituntut tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Perintah penggantungan itu juga adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh pihak kerajaan Malaysia sendiri bermula dari proses tuntutan tersebut difailkan.

Kenyataan beliau itu sebagai merujuk penguatkuasaan ‘Final Award’ dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa berikutan tuntutan pihak tertentu yang mendakwa pewaris Sultan Jamalul Kiram II.

- Advertisement -

Tuntutan berkenaan diputuskan menerusi satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol yang terdahulu telah difailkan oleh kumpulan penuntut terbabit beberapa tahun lalu.

“Justeru, perintah penggantungan itu menamatkan tuntutan dan memastikan kepentingan, kekebalan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” tegas Wan Junaidi.

Kesan daripada itu, ‘Final Award’ tersebut tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berhubung permohonan pembatalan.

Beliau menambah, dua subsidiari Petronas yang berada di Luxembourg sebenarnya memang telah pun dimaklumkan mengenai isu penguatkuasaan Final Award itu pada 11 Julai lalu.

Mereka menerimanya menerusi penyerahan notis dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg namun Petronas akan mengambil tindakan perundangan untuk mempertahankan kedudukan.

Pada masa sama, kerajaan Malaysia, katanya, menegaskan tidak pernah mengiktiraf tuntutan itu, bahkan, tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai negara berdaulat.

“Berikutan itu, kerajaan Malaysia sudah pun mengambil tindakan perundangan di Sepanyol termasuk permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi,” katanya.

Wan Junaidi menambah, ia turut meliputi injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020.

Kerajaan juga memohon pembatalan pelantikan penimbang tara dan mengenepikan ‘Partial Award on Jurisdiction’ bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Stampa sebelum itu.

Susulan tindakan oleh Malaysia itu, Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 membatalkan pelantikan Stampa selain memutuskan semua prosiding dan keputusan juga adalah tidak sah.

Malangnya, beliau kesal apabila Stampa tidak menghormati dan mempedulikan keputusan itu dengan bertindak memindahkan prosiding timbang tara ke Paris secara sebelah pihak sahaja.

“Pihak penuntut didapati memperoleh perintah Exequatur secara ex parte daripada Tribunal de Grande Instance di Paris yang mengiktiraf Partial Award pada 25 Mei 2021,” kata beliau.

Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan Malaysia berjaya mencabar dan juga memperoleh Perintah Penggantungan pada 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.

Ini bermakna pihak penuntut terhalang daripada perintah Exequatur, namun, mereka masih mengekalkan pendirian bahawa Final Award telah dikeluarkan pihak timbang tara di Paris.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia memfailkan prosiding jenayah terhadap Stampa atas kesalahan hina mahkamah dan prosiding itu masih berjalan di Mahkamah Jenayah Madrid.

Berikutan kejayaan perintah penggantungan itu semalam, kerajaan Malaysia, katanya, sedang membuat persediaan rapi untuk pembatalan ‘Final Award’ dengan tarikh belum ditetapkan lagi.

“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil langkah wajar bagi menamatkan tuntutan itu dan memastikan kekebalan dan kedaulatan negara sentiasa dilindungi,” tegas Wan Junaidi.

UTUSAN MALAYSIA

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img