Pulau Pinang: Penguasaan DAP di Pulau Pinang perlu ditamatkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan pembangunan yang tidak seimbang sepanjang tiga penggal parti itu memerintah.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, misi itu tidak mustahil untuk direalisasikan jika rakyat pelbagai bangsa menolak sikap ekstrim DAP.
(Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki)
Katanya yang dipetik melalui Utusan Malaysia, jika DAP terus menerajui Pulau Pinang selepas PRU15, maka akan muncul sebuah negeri di Malaysia yang membangun tanpa acuan jati diri negara.
Tegasnya, kaum-kaum Bumiputera yang merupakan penduduk asal di negeri itu bukan sahaja terpinggir, malah tanah-tanah milik mereka turut diambil bagi dijadikan lokasi penempatan warga asing.
“Pulau Pinang tidak dibangunkan mengikut acuan Malaysia, sebaliknya mengikut acuan penjajah yang melahirkan seumpama Hong Kong.
“Malah, DAP tetap mahu meneruskan projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) yang bakal meminggirkan kaum Bumiputera terutama para nelayan walaupun Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dibatalkan baru-baru ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Di samping itu, menurut Dr. Zuhdi, kawasan-kawasan penempatan Melayu seperti di Kepala Batas, Tasik Gelugor dan Nibong Tebal turut terganggu dengan pencemaran di samping gangguan khinzir.
Sementara itu, katanya, kejayaan DAP menerajui Pulau Pinang sejak PRU12 adalah disebabkan dua faktor iaitu undi orang Melayu pecah dan peralihan sokongan pengundi Cina daripada Gerakan dan MCA.
Menurutnya, PKR dan Pas yang ketika itu dalam Barisan Alternatif telah berjaya menarik sokongan sebahagian pengundi Melayu Pulau Pinang.