KUALA LUMPUR, 2 Julai ― Di dalam UMNO hanya ada satu kem sahaja, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan bahawa terdapat dua kem dalam parti itu.
Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno menegaskan hanya ada satu kumpulan yang mengetuai pucuk pimpinan parti, beliau berkata kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan Umno kini mempunyai dua kem berikutan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung isu dalaman Umno baru-baru ini.
Mengenai desakan sesetengah pihak agar kerajaan membatalkan pelantikan Tajuddin sebagai duta Malaysia ke Indonesia, perdana menteri meminta keputusan pelantikan itu tidak perlu dipersoalkan.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan Tajuddin telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan telah diluluskan oleh Jemaah Menteri. Namun perlantikan tersebut tergendala kerana baginda gering ketika ini.
Ismail Sabri juga berkata Umno masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk meluluskan pindaan perlembagaan parti.
Pada Mei lalu, Umno sebulat suara melalui Perhimpunan Agung Khas meluluskan pindaan untuk membenarkan pemilihan parti diadakan tidak lebih enam bulan selepas pilihan raya umum bagi memberi ruang kepada ahli parti menumpukan perhatian kepada kerja pilihan raya.