Kota Kinabalu 1 Julai – Perbalahan sesama pemimpin Umno perlu dihentikan serta-merta, kerana ia boleh menyebabkan hilang keyakinan orang ramai, kata Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sebaliknya, beliau berkata semua ahli di dalam Umno perlu menumpukan kepada merapatkan barisan bagi membawa kestabilan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Umno Bahagian Sembrong itu berkata semua pemimpin parti yang memegang jawatan sama ada dalam kerajaan atau Majlis Tertinggi parti perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan ikhlas.
“Kita akan menghadapi pilihan raya umum, rakyat akan menentukan kedudukan kita sebagai kerajaan dan kita (Umno) juga akan menghadapi pemilihan parti, dan ahli parti akan menentukan kedudukan pucuk pimpinan parti,” katanya.
Menteri Pertahanan Kanan itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen Udara Tentera Laut Kota Kinabalu dan penubuhan Skuadron 503, selain menyaksikan penyerahan helikopter operasi maritim baharu di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.
Sementara itu, Hishammuddin berkata keretakan dalam kepimpinan parti bukan sahaja berlaku dalam Umno atau BN, kerana parti politik lain turut berdepan situasi sama.
Bagaimanapun, beliau yakin Umno akan menangani perkara itu dengan baik berdasarkan situasi sama yang dihadapi parti itu sebelum ini, yang menyaksikan pertembungan lebih hebat di kalangan pemimpinnya.
“Tetapi, ia (pertembungan dahulu) tidak menjejaskan Umno sebagai parti yang boleh diharapkan oleh rakyat,” katanya.