KUALA LUMPUR, 1 Julai — Peminat filem bersiri Thor perlu menunggu dua minggu lagi untuk menonton Thor: Love and Thunder di pawagam.
Berita penangguhan filem itu di semua wayang Malaysia diumumkan oleh Disney Malaysia di laman facebook mereka.
Peminat-peminat filem itu ternanti-nanti kerana telah membeli tiket lebih awal menurut operator pawagam. Menurut sumber itu lagi, tiket jualan awal adalah memberangsangkan.
Filem Thor kali ini dijangka akan ditayangkan pada 21 Julai.
Sementara itu, GSC menggunakan Facebook untuk berkongsi berita itu sambil memohon maaf kepada penonton pawagam atas kesulitan tersebut.
“Mereka yang telah membeli tiket pendahuluan akan dipulangkan sepenuhnya. Jika anda telah membeli tiket anda dalam talian, jumlah tersebut akan dikembalikan kepada anda dalam masa 14 hari bekerja.
“Jika anda telah membeli tiket anda di kaunter atau e-kiosk, sila kembali ke pawagam dan tuntut bayaran balik anda dalam tempoh 14 hari.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” kata GSC dalam catatan Facebook mereka.
Namun tiada alasan diberikan untuk penangguhan itu dan belum ada pengumuman rasmi oleh Disney Malaysia berhubung penangguhan tersebut.
Filem tersebut dibintangi oleh Chris Hemsworth, Natalie Portman, Taika Waititi serta Tessa Thompson dan Christian Bale.
Ada desas-desus dari peminat filem tanahair berkata bahawa penangguhan itu disebabkan oleh sambutan yang luar biasa terhadap filem Mat Kilau daripada pengarah tersohor tempatan, Syamsul Yusof.
Dari sumber tidak rasmi, Mat Kilau telah mencapai 23 juta ringgit nilai kutipan sejak ditayangkan 23 Jun lalu.