spot_img
spot_img

Upin & Ipin popular di Indonesia

spot_img

SHAH ALAM: Penggunaan bahasa yang mudah menjadi antara faktor utama siri animasi popular, Upin & Ipin berjaya memenangi hati masyarakat Indonesia tanpa mengira usia.

Pengarang Waspada Medan Muhammad Faisal Jayadi berkata selain watak comel, siri animasi itu juga sarat dengan mesej positif.

“Upin & Ipin sangat popular di Indonesia termasuk di Medan yang menggunakan bahasa yang hampir sama.

- Advertisement -

“Bukan sahaja anak-anak, saya dan isteri juga peminat tegar siri animasi itu. Isteri saya boleh menghafal dialog dalam siri tersebut. Walaupun berulang kali dimainkan, mereka (isteri dan anak-anak) tidak pernah jemu dan tetap mahu menonton,” katanya ketika ditemui Bernama semasa lawatan delegasi media Indonesia ke Les’ Copaque Production Sdn Bhd, di sini hari ini.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada program empat hari kumpulan itu di Malaysia bermula semalam, yang bertujuan menyediakan platform bagi kerjasama strategik antara media Malaysia dan Indonesia, selain mengeratkan hubungan dan persefahaman dalam menangani isu kepentingan bersama.

Program itu merupakan kesinambungan daripada Program Ketua Pengarang Indonesia pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka pada 29 Mei lalu.

- Advertisement -

Muhammad Faisal berharap akan ada adegan siri animasi popular melawat Indonesia atau memakai baju batik negaranya dalam episod Upin & Ipin akan datang.

“Saya pasti sambutan akan lebih menggalakkan kerana ia mempunyai ramai peminat di Indonesia,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarang Sindonews.com, Puguh Heryanto berkata siri Upin & Ipin telah memperkenalkan budaya, keunikan dan keharmonian kaum yang terdapat di Malaysia.

“Saya mengenali durian ‘musang king’ menerusi siri animasi ini. Dulu saya anggap ia hanya fantasi yang sengaja dicipta, rupa-rupanya ia sebenarnya wujud. Saya rasa Upin & Ipin telah menjadi duta dalam memperkenalkan Malaysia ke negara lain termasuk Indonesia, walaupun ramai yang tidak menyedarinya.

“Selain itu, cerita (siri itu) sangat asli iaitu mengenai kanak-kanak di sebuah kampung di Malaysia. Walaupun berbeza agama dan kaum, mereka hidup secara harmoni,” katanya.

Antara peserta lain program itu ialah Timbalan Ketua Pengarang IDN Times Umi Kalsum, Pengarang Urusan Majalah Tempo Bagja Hidayat, Pengarang Urusan Detik.com Erwin Dariyanto dan Pengarang Urusan Bisnis Indonesia Galih Kurniawan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les ‘Copaque Production Burhanuddin Md Radzi berkata beliau bersyukur kerana siri animasi Upin & Ipin mendapat tempat di kalangan masyarakat Indonesia selain merancang membawa Teater Muzikal Upin & Ipin: Pin Pin Pom ke negara jiran tahun depan .

“Sebenarnya teater ini sepatutnya ditayangkan di Indonesia dahulu pada 2019 tetapi disebabkan pandemik Covid-19, kami terpaksa berhenti. InsyaAllah awal tahun depan akan ke Indonesia.

“Di Malaysia, ia dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Sept di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur manakala di Singapura pada Disember,” katanya.

Katanya, selain Indonesia, siri animasi itu turut mendapat sambutan di India dan beberapa negara lain.-Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img