KUALA LUMPUR, 30 Jun — Bekas perdana menteri dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau mungkin mempertahankan kerusi parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Memetik laporan Astro Awani, pengerusi partu Pejuang itu berkata beberapa orang calon lain sedang dalam pertimbangan, tetapi beliau akan bertanding semula sekiranya tiada calon yang terbaik tidak muncul.
Dr Mahathir juga berkata kempen memperkenalkan Pejuang kepada umum berjalan lancar dan membuahkan hasil yang baik.
Bagaimanapun, beliau mendakwa kekurangan liputan media mengenai Pejuang sebagai parti Pembangkang menyebabkan orang ramai tidak memahami prinsip dan matlamat parti itu.
“Kami telah ke seluruh negara, sehingga ke Sabah, tetapi masih tiada liputan. Kita sebenarnya mempunyai lebih ramai ahli parti, lebih ramai daripada Bersatu dulu.
“Rakyat tidak lagi menyokong Bersatu. Mereka menyokong Pejuang,” katanya.