PUTRAJAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) dan peneraju teknologi antarabangsa, Cisco International Limited menjalin kerjasama strategik bagi membantu negara membangunkan platform inovasi 5G serta mempercepatkan penggunaan dan transformasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.
Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada program Country Digital Acceleration (CDA) oleh Cisco dan selari dengan MYDIGITAL bagi mempercepatkan negara menjadi peneraju digital serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, TM menjadi syarikat pertama yang berkerjasama dengan Cisco bagi membawakan program CDA ke Malaysia selepas berjaya dilaksanakan di 44 negara seluruh dunia.
Menurut beliau, kerjasama yang terjalin itu merangkumi transformasi tiga sektor iaitu pendidikan, PKS dan perusahaan.
“Transformasi digital PKS akan menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan usahawan dan secara langsung membantu mereka menjadi lebih efisien dan berdaya saing.
“Program ini akan mendigitalkan lebih daripada 400,000 pelanggan PKS sedia ada kami dalam bidang penyediaan makanan (F&B), perkhidmatan dan juga perniagaan runcit. Melalui usaha transformasi digital ini juga, bakat-bakat tempatan akan berpeluang untuk menghasilkan aplikasi-aplikasi bagi kegunaan sektor PKS.
“Selain itu, hala tuju kerjasama ini tidak akan terhad hanya kepada sektor PKS tetapi akan turut diperluaskan kepada sektor perusahaan berskala besar dengan pelbagai penyelesaian digital yang inovatif dan menepati keperluan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara TM dan Cisco di sini, hari ini.
Jelas beliau, melalui kerjasama tersebut, TM akan menyokong transformasi digital syarikat pembekal perkhidmatan lain melalui ‘Private 5G Innovation Sandbox’ yang akan menjadi platform penciptaan dan integrasi rangkaian dan ekosistem 5G dalam sektor perindustrian dan perkilangan; penyediaan ruang untuk kegunaan dan ujian dan pembangunan strategi pemasaran bersama.
Utusan Malaysia
foto : The Edge Markets