spot_img
spot_img

Masanya Bersatu menjadi parti alternatif dominan Melayu

spot_img

PERKEMBANGAN terbaharu politik tanah air beberapa hari ini amat menarik. Namun tanpa niat untuk menangguk di air yang keruh atau oportunis, BERSATU dalam situasi ini perlu menjadi parti dominan dan alternatif kepada bangsa Melayu dan pribumi Islam untuk berlindung serta dibela. ‘Huru-hara politik’ sekarang menuntut BERSATU mengambil alih sepenuhnya amanah dan tanggungjawab membela kepentingan mereka selaku majoriti yang menjadi faktor penentu termasuk kestabilan politik di negara ini.

BERSATU perlu melakukan ini sebelum pihak lain bertindak serupa. Banyak pihak menunggu masa dan peluang ini. Tetapi jika BERSATU mengabaikan detik ini, dikhuatiri ada pihak ketiga akan menunggangi rakyat dan memperalat mereka untuk suatu kepentingan termasuk menguasai negara.

Apatah lagi, BERSATU belum terlambat membuat ‘comeback’ selepas lesu kerana tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Cuma syaratnya, BERSATU perlu segera mencari formula menjadi parti dominan dan alternatif kepada pribumi Islam. Parti ini ada pakej terbaik untuk ditawarkan kepada rakyat yang sedang lesu dan kesakitan gara-gara politik kucar-kacir. Di luar BERSATU, ramai pemimpin menjadi liabiliti parti masing-masing.  

- Advertisement -

Untuk itu, pemimpin BERSATU perlu tegas, tuntas dan berani membuat keputusan. Jangan takut dan tidak perlu jadi lukut di tepi gantang dalam berurusan dengan parti lain. Apabila BERSATU kuat dan berpengaruh, secara automatik parti lain akan datang kemudian untuk bersekutu. Lagipun, pemimpin dan ahli UMNO yang taksub dengan pemimpin khasnya, sudah ‘alergic’ dengan BERSATU. Jadi, jangan jadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ untuk mendapat sokongan mereka.

BERSATU perlu bina tapak, kekuatan akar umbi dan pengaruh sendiri. Parti perlu ada strategi, keberanian dan kebijaksanaan tanpa menawarkan toleran berlebihan. Parti perlu kalis serangan dengan memiliki jentera, strategis dan strategi ampuh termasuk dalam gerak gempur pilihan raya mahupun perang saraf dan jaringan media.

BERSATU sekarang ‘krik-krik’ (sepi). Ini realiti. Jadi, parti perlu bingkas semula dan menyusun barisan kepemimpinan mahupun strategi baharu. Kalau parti perlu reform atau revemp – lakukanlah!

- Advertisement -

Saf kepemimpian di semua peringkat mesti dinilai dan disusun semula. Tukar kalau perlu. Bina hirarki parti dan politik mengikut merit, komitmen serta aturan prosesnya. Berparti bukan untuk syok sendiri! Buang status kayangan dan elit dalam parti. Ini perlu dilakukan demi kepentingan parti dan pribumi Melayu Islam serta kemakmuran negara.

BERSATU tidak boleh bertangguh lagi bagi membina potensi, kekuatan, kekukuhan serta ketangkasan baharu memandangkan PRU15 boleh diadakan bila-bila masa. Parti perlu melebarkan tapak di akar umbi sebagai syarat untuk kukuh, berpengaruh serta dominan sekali gus mendapat sokongan ketika pilihan raya.

Malangnya, pemimpin BERSATU kerap terikut-ikut rentak dan melayan permainan lawan. Akibatnya, mereka lebih banyak meluangkan masa, fokus dan tindakan untuk membersihkan nama, menangkis serangan serta meminta sokongan parti lain. BERSATU juga telah berubah menjadi ‘parti majmuk’ kerana membuka keanggotaan kepada ahli bersekutu dan mengisi posisi penting dalam parti. Parti juga mengharapkan kekuatan daripada pemimpin yang melompat dari parti lain.

Untuk kedua-dua situasi ini, lebih baik BERSATU menggilap potensi dan kekuatan pemimpin sedia serta kelompok pemimpin muda untuk memperkukuhkan lagi parti. Lebih berbaloi mengangkat ahli, pelapis dan pemimpin dalam parti yang terbukti setia dan sanggup bergolok bergadai dengan sejak pra-penubuhan parti.

Picisan pelbagai faktor dan senario yang menyatu ini menyebabkan BERSATU hilang fokus sekali gus tidak dapat membina kekuatan. Parti masih belum kukuh selagi aspirasi dan misi belum mengakar umbi. BERSATU ketika ini belum mampu menjadi alternatif selepas UMNO. Parti tewas PRN Melaka dan Johor kerana tiada tunjang dan sokongan akar umbi berbanding jaringan UMNO.

Jadi, belajar dari UMNO cara parti itu menyantuni akar umbi serta ‘menjaga’ ahli. Hasilnya, ahli sanggup membayar ‘pembelaan’ yang diberi UMNO dengan kesetiaan dan sokongan. Mereka tidak peduli lagi pemimpin parti bergelumang rasuah kerana merasakan parti masih menjaga mereka.  

BERSATU juga perlu memikat serta memenangi jiwa raga generasi baharu dan individu yang tidak berparti mahupun atas pagar. Gerakan mendampingi dan mendaftar mereka sebagai ahli parti perlu dipergiat. Ini satu lagi kunci kemenangan parti. Mereka boleh memilih BERSATU sebagai platform bersuara dan perjuangan.

Ketika mana ramai generasi baharu tidak kenal BN tetapi pada masa sama, mereka masih jauh dari BERSATU. Sebaliknya, tidak kurang ramainya generasi baharu Melayu menyokong DAP dan parti beraliran liberal lain. Jadi, di mana BERSATU ketika generasi baharu tercari-cari platform politik? 

Sebenarnya, generasi baharu mengenali BERSATU menjelang pra mahupun pasca PRU14 pada 2018. Parti ini membawa imej bersih, berintegriti serta perjuangan memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Kredibiliti BERSATU memimpin kerajaan dan prestasi cemerlang membela serta mensejahterakan rakyat ketika menerajui Kerajaan PN ternyata menambat hati serta sokongan mereka. Justeru, prestasi dan kredibiliti sama mesti dikembalikan sebelum PRU15 ini.

Jentera parti juga perlu memperkukuh semangat kerja berpasukan. Elak berlagak konon boleh menggelecek secara solo. Orang kanan kiri Presiden mesti sentiasa dilihat bersama dan sekata. Jangan beri ruang lawan memanipulasi keadaan. Jika ini dilakukan maka tidak muncul adu domba musuh yang menuding kepemimpinan parti tidak mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam isu-isu tertentu.

Siri serangan ‘character assassination’ mahupun ‘black campaign’ terhadap beliau sebagai tunggak dan jantung BERSATU, mesti disekat. Momokan dan gelaran-gelaran jahat yang dilabelkan kepada pemimpin serta parti mesti dibuang.

Contoh, tohmahan Muhyiddin dan BERSATU sebagai pengkhianat mesti dibersihkan. Rakyat mesti diberitahu bahawa tindakan berani BERSATU pada 2020 adalah perjuangan demi membela nasib Melayu dan pribumi serta maruah agama Islam yang diperkotak-katik parti tertentu. Tidak kurang pentingnya, jika kalau bukan kerana keberanian Muhyiddin, mungkin pemimpin yang tidak mendukung aspirasi pribumi Islam akan menerajui kerajaan.

Selain itu, ada ketika parti perlu bertindak pre-emtif mempertahankan diri kerana ‘the best defense is a good offense’. BERSATU perlu memiliki keupayaan melakukan serangan balas. Pelan dan strategi perang saraf termasuk menerusi pelbagai platform media, mesti direka serta dilancarkan. BERSATU masih lemah dalam bab ini. Buktinya, media pelbagai aliran tidak mempertahankan Muhyiddin apabila diserang ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Akhirnya, beliau terpaksa berundur.

BERSATU hanya jadi dominan jika rakyat menyedari kesan perjuangan parti memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa. Rakyat juga perlu bersama parti mempromosikan kesejahteraan, perpaduan serta keharmonian rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Dalam konteks ini, BERSATU mesti dilihat konsisten berjuang memelihara kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia supaya bahaya tidak mengancam keselamatan politik, sosioekonomi dan jati diri nasional. Sebagai sekutu dalam Kerajaan Persekutuan, BERSATU juga mesti tegas dan berani dalam menangani isu-isu dasar mahupun mempertahankan kepentingan parti.

Satu lagi pra-syarat untuk jadi dominan parti perlu mempunyai sejumlah keahlian yang munasabah – lagi ramai, lagi bagus! Mereka mesti berkualiti, komited selain menjunjungi aspirasi, visi dan misi parti. Ahli dan barisan kepimpinan semua peringkat mesti menjaga nama baik parti selain.

Untuk menjadi parti dominan, kuat, kukuh dan kekal relevan maka keseluruhan prosesnya akan  memakan masa. Ini satu perjuangan bangsa dan bukan semata-mata untuk memenangi PRU ke-15. Jika tekad dan inisiatif dilaksanakan secara konsisten, mungkin ada buah boleh dituai pada PRU15. Namun yakinlah, tuaian lebih lumayan pada PRU16. Yang penting seluruh parti bersatu padu. Hala tuju BERSATU mesti lurus. Naratif parti mesti praktikal dan jelas.

Tanpa melibatkan tindak-tanduk dan kenyataan yang retorik, BERSATU hanya perlu memantapkan visi dan misi perjuangannya menerusi pendekatan yang menawan hati nurani rakyat dan pengundi semua peringkat umur. Ini boleh dilaksanakan jika kepimpinan BERSATU di semua peringkat mampu memperagakan visi dan misi perjuangan secara jelas, tegas dan berkesan. 

Dalam lain perkataan, elakkan percakaran sesama sendiri, hindari peri laku yang boleh membibitkan persepsi negatif, junjung yang makruf dan jauhi kemungkaran. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Lurah sama dituruni, bukit sama didaki. Hayati Perlembagaan BERSATU. Di dalamnya tersimpan pelbagai strategi perjuangan yang murni,” demikian rumusan ringkas penulis dan penganalisis politik, Datuk Dr Ruhanie Ahmad.

Naratif di atas menunjukkan BERSATU mampu jadi parti dominan kerana punya falsafah, visi dan misi perjuanganyang terbaik. Justeru, menerusi perbandingan mudah dan analisis ringkas ini, terlihat BERSATU satu-satunya yang mampu membela serta memperjuangkan kepentingan Melayu, pribumi dan Islam seterusnya membawa rakyat serta negara ke era lebih cemerlang hanya kalau ia parti dominan.

 

Pendapat ini daripada ahli seumur hidup Bersatu, tidak melambangkan pendirian Berita Tular.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img