Putrajaya: Apabila kerajaan persekutuan lemah dan huru-hara, banyak pihak menangguk peluang itu untuk memperkuatkan agenda masing-masing. Terbaru adalah kenyataan dari Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Junz Wong yang dengan penuh yakin berkata tiada siapa yang boleh membentuk kerajaan tanpa Sabah dan Sarawak.
Beliau yakin dengan kenyataan itu kerana berdasarkan senario politik ketika ini. Oleh demikian menurutnya, rakyat Sabah harus bekerjasama dengan Sarawak bagi menuntut hak kedua-dua negeri terbabit.
Semangat kenegerian terus dimainkan oleh ahli-ahli politik Sabah dan Sarawak terutamanya bermula apabila PRU yang ke 14 dahulu. Untuk rekod, Presiden parti Warisan adalah bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie bin Apdal yang telah lama menjadi wakil rakyat, Menteri Besar dan Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Warisan menyeru agar pentingnya rakyat Sabah sedar akan peluang ini untuk bersatu dan bekerjasama dengan Sarawak untuk menuntut kononnya hak-hak mereka bagi membentuk kerajaan akan datang.
“Mereka (kerajaan persekutuan) tidak boleh kawal lagi sebab tanpa Sabah dan Sarawak mereka tidak boleh membentuk kerajaan. Kita kena ambil peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan untuk mengawal dan mengubah struktur serta budaya politik negara,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan Kolombong di sini pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru turut berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan wujud di Sabah lagi kerana bakal ada gabungan baharu. Beliau juga menekankan bahawa Warisan tidak akan menyertai BN. Gabungan baru yang dimaksudkan oleh beliau adalah seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memenangi PRN Sabah lepas. GRS disertai PBS, BERSATU Sabah, SAPP, STAR, dan USNO plus UMNO. Warisan menggambarkan kerjasama pilihanraya di Sabah dan Sarawak mungkin tidak akan sama seperti di semenanjung.
“Gabungan baharu akan ada struktur dan budaya baharu. Kita kena fokus kepada agenda rakyat dan tidak boleh lagi cakap soal politik kerana rakyat sudah bosan dengan politik”, tegasnya.
Sehubungan itu, Junz berkata, pada pilihan raya akan datang Warisan perlu fokus kepada isu rakyat dan setiap pemimpin yang bertanggungjawab perlu memastikan politik di negara ini stabil.