KUALA LUMPUR, 20 Jun — Kumpulan ChemOne mengumumkan projek Kompleks Tenaga Pengerang (PEC – Pengerang Energy Complex) berada di landasan yang betul untuk menerima kemudahan jaminan eksport sekitar AS$2.4 bilion (AS$1=RM4.40) menjelang akhir tahun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, ChemOne, yang merupakan pemaju induk projek itu, berkata PEC akan menyelesaikan penutupan kewangannya pada penghujung 2022 mengikut terma dan jadual pembiayaan yang dipersetujui dengan agensi kredit eksport global terkemuka.
“Dijadual memulakan pembinaan pada suku keempat tahun ini, kemudahan PEC bernilai AS$4.4 bilion akan ditempatkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Johor, berpusat untuk mengakses sumber bahan mentah antarabangsa teras dan menjadi pusat permintaan produk utama di Asia,” kata ChemOne, yang merupakan konglomerat petrokimia, tenaga hijau dan sumber asli yang berpangkalan di Singapura.
PEC telah direka bentuk untuk mengoptimumkan kecekapan tenaga, meminimumkan saiz peralatan, dan mengurangkan jejak karbon dengan ketara dan telah dibangunkan selaras dengan piawaian prestasi International Financial Corporation dan Prinsip Khatulistiwa 4.
Kumpulan itu juga berkata bahawa PEC juga telah memperoleh komitmen pengambilalihan jangka panjang daripada pemain tenaga besar dalam industri untuk semua produknya.
Pengerusi dan ketua pegawai eksekutif kumpulan ChemOne MY Ling berkata menerusi PEC, ChemOne menyasarkan untuk mewujudkan kompleks tercanggih yang mampan dan cekap tenaga di Asia Tenggara untuk memenuhi pasaran Asia yang lebih luas.
Pembiayaan hutang utama untuk projek itu, dianggarkan kira-kira AS$2.9 bilion, juga telah dilancarkan bulan ini dan dijangka selesai dalam tempoh enam minggu, katanya.
PEC berada di landasan untuk memuktamadkan beberapa perjanjian utama dengan rakan kongsi industri yang mengambil bahagian dalam projek itu, bersama dengan usaha sama dan rakan kongsi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, kumpulan Itali Maire Tecnimont S.p.A.
PEC telah menganugerahkan Honeywell UOP kontrak pelesenan teknologi untuk projek itu, yang akan menggabungkan teknologi LD Parex generasi terbaru Honeywell UOP.
“Teknologi pemprosesan termaju Honeywell UOP yang terkemuka di pasaran akan menghasilkan pengurangan penggunaan tenaga, pengeluaran aromatik yang maksimum, pengurangan modal dan kos tenaga serta fleksibiliti stok suapan yang lebih luas, membolehkan loji PEC menjadi salah satu kemudahan termaju, tenaga dan cekap karbon di kelasnya,” kata Ling.
Projek itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026, dan akan mampu memproses 150,000 tong sehari (bpd) serta tambahan sampingan nafta, yang seterusnya akan menghasilkan keluaran sebanyak 2.3 juta tan metrik setahun ( mmtpa), keluaran produk tenaga sebanyak 3.9 mmtpa dan keluaran hidrogen sebanyak 50,000 tan metrik setahun (mtpa).
Pemisah kondensat akan menghasilkan nafta berat, bahan mentah utama untuk loji aromatik, dan hidrogen yang dihasilkan dirancang untuk digunakan untuk membangunkan kemudahan bahan api boleh diperbaharui di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengerang Energy Complex Sdn Bhd Alwyn Bowden menyatakan kemajuan ketara dapat dilihat untuk projek itu, terutamanya dalam tempoh enam bulan lalu.
“Dengan pembukaan pasaran serantau, kami berharap untuk memperoleh momentum yang lebih jauh ketika kami bersiap sedia untuk memulakan pembinaan.
“Perjanjian yang telah dimeterai setakat ini menyerlahkan keyakinan kukuh pihak berkepentingan dalam projek ini. Dalam beberapa bulan akan datang, kami menjangkakan untuk memuktamadkan rundingan dan menandatangani perjanjian dengan syarikat tenaga global terkemuka dan syarikat minyak untuk bahan mentah dan pengeluaran,” katanya.
PEC menjangka perolehan eksport tahunan sebanyak AS$5 bilion, mendorong Malaysia meningkatkan lagi rantaian nilai dalam sektor petrokimia.
Ia dirancang untuk menerima bekalan bahan suapan jangka panjangnya daripada syarikat minyak antarabangsa utama, sementara pemain petrokimia Eropah, Amerika, Jepun, China dan Thailand yang terkemuka telah komited untuk melepaskan produk tersebut.
Semasa fasa pembinaannya selama 45 bulan, PEC dijangka mengambil lebih 7,000 pekerja dan dijangka mengekalkan lebih 200 pekerja untuk operasi dan penyelenggaraan sebaik sahaja pengeluaran komersial bermula. — Bernama