spot_img
spot_img

Pengedar dadah mungkin lebih bermoral dari rasuah ?

spot_img

PERBICARAAN kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam semakin panas. Tumpuan kini bukan terhadap Presiden UMNO itu. Apa yang didedahkan sepanjang perbicaraan kedua paling besar selepas Datuk Seri Najib Razak ialah luasnya jaringan rasuah atau “web of corruption” di Malaysia.

Pendedahan bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) David Tan Siong Sun telah menukar status perbicaraan ini kepada skandal rasuah ahli politik `ternama’ terbesar di negara ini.

Tan mendedahkan kewujudan satu lejar yang ada kod nama khas, orang yang dirujuk, jumlah serta tarikh wang dihantar wakil UKSB. Ia seperti lejar mafia yang merekodkan semua pendapatan serta rasuah yang dibayar kepada pegawai kerajaan. Akauntan bertauliah akan mengatakan penyimpanan lejar adalah amalan terbaik dalam merekodkan keluar masuk wang.

- Advertisement -

Beberapa nama besar disebut oleh Tan Jumaat lalu. Mereka menerima berjuta-juta ringgit. Rakyat tahu mengenai amalan rasuah di negara ini adalah buruk. Tetapi kini ia mencapai peringkat yang sukar ditelan malah oleh mereka yang mempunyai otak sebesar sebiji kacang. Rasuah sudah `dihalalkan’ di semua peringkat. Penulis tertanya-tanya siapa yang tidak ambil rasuah?

Nama-nama yang disebut mungkin tidak tidur lena hujung minggu lalu. Ada yang telah membuat penafian. Yang lain mungkin merencana naratif terbaik bagi menafikan dakwaan itu. Beberapa pihak sudah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka kertas siasatan ke atas nama-nama yang disebut itu.

Perbicaraan ini telah bertukar menjadi skandal “UKSBgate” dan tidak akan berakhir esok atau lusa. Sebanyak mana penafian dibuat, ia akan menjadi modal pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Nama-nama yang disebut boleh menafikannya atau mengatakan orang bawahan atau `pencacai’ menerima wang berkenaan tanpa kebenaran atau pengetahuan mereka.

Tetapi perbicaraan ini mendedahkan masalah lebih besar. Ia mengesahkan apa yang diketahui masyarakat – ramai ahli politik hidup mewah kerana menerima `dana politik’.

Kini siapa ahli politik yang boleh dipercayai? Fiber moral yang menjadi tiang sebuah negara secara rasmi telah musnah.

Cuba bayangkan jumlah sebenar syarikat seperti UKSB serta berapa banyak lejar sama yang wujud di luar sana. Kes ini hanya membabitkan satu kementerian. Berapa banyak kementerian memberikan kontrak, projek atau konsesi. “Ahli perniagaan” bijak akan menyimpan lejar sama sebagai “safety net”.

Ia tiket keluar penjara percuma jika berdepan pendakwaan.

Kita kini tahu untuk setiap RM1 yang dibayar sebagai rasuah bagi nilai kontrak RM10 bermakna kos akhir meningkat 10 peratus. Pertambahan kos 10 peratus sebagai wang kopi ahli politik akhirnya ditanggung rakyat. Mudah hidup apabila ada orang menghantar RM1.3 juta ke pintu rumah.

Rakyat membayar cukai. Rakyat membayar permit menggunakan sistem. Rakyat membayar setiap perkhidmatan atau produk. Semua projek ini 10 peratus lebih mahal yang mana wang itu dihantar `runners’ ke rumah ahli politik.

Mungkin pengedar dadah dihina serta dicaci tetapi mereka lebih bermoral berbanding golongan yang mencuri daripada keseluruhan rakyat.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img