ARAU: Barisan Nasional (BN) masih mempunyai kelebihan besar sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera ataupun selepas Bajet 2023 dibentangkan pada Oktober ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, UMNO atau BN masih mendahului daripada segi populariti dan keyakinan rakyat berbanding pembangkang yang masih keliru khususnya dalam soal pembentukan khemah besar.
Katanya, pembentangan Bajet yang mempunyai faktor ‘wow’ sememangnya boleh membantu menarik sokongan rakyat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob .
Bagaimanapun katanya, perlu diingat, Bajet tersebut juga membabitkan komponen Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan ketika ini.
“Kedua-dua parti sama ada BN atau PN masih boleh memainkan sentimen wow bajet bagi menarik sokongan rakyat. Jentera penerangan parti juga harus memainkan peranan penting dalam membantu menarik sokongan pengundi.
“Namun, tidak dinafikan bahawa BN masih berada pada tahap paling baik walaupun dengan Bajet wow atau pun sebelum Bajet (mengadakan PRU15),” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menjangkakan masa terbaik untuk PRU15 adalah sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan Oktober ini.
Katanya, pembentangan Bajet berkenaan perlu ada faktor wow memandangkan bajet berkenaan merupakan buah tangan Ismail Sabri yang datang daripada BN.
“Apabila kita kata bajet, ini bajet Ismail Sabri, bajet UMNOlah, bajet BN. Nak pilihan raya buatlah bajet yang elok-elok. Tapi bajet pilihan raya ini mesti ada sesuatu yang dipanggil sebagai wow factor, jadi buatlah. Jadi, lepas pembentangan bajet, bolehlah buat pilihan raya,” kata Timbalan Presiden UMNO itu.
Tambah Muhammad Izmer, kelemahan pembangkang yang masih keliru dalam soal kerjasama sesama mereka turut membuka peluang lebih luas kepada BN dalam PRU15.
“BN mempunyai akar umbi yang kukuh selain gabungan membabitkan parti-parti komponen yang dilihat tidak mempunyai masalah,” katanya.