ALOR SETAR, 19 Jun — Kedah berada di landasan yang betul untuk menikmati pembangunan ekonomi yang lebih besar berdasarkan pelaburan yang mengalir ke negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata penunjuk itu adalah sesuatu yang membanggakan termasuk pelaburan yang diluluskan berjumlah RM68.3 bilion yang dicatatkan tahun lepas, yang merupakan pencapaian luar biasa bagi Kedah.
Menurutnya pencapaian tersebut melebihi beberapa negeri maju lain atau negeri perindustrian. Kedah boleh berbangga dengan rekod kecemerlangan dalam sejarah ekonomi negara ini. Muhammad Sanusi berkata demikian dalam titah ucapan tahniah mewakili kerajaan dan rakyat Kedah pada istiadat istiadat pengurniaan anugerah dan pingat negeri sempena sambutan ulang tahun ke-80 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga suku kedua tahun ini, Kedah telah menerima pelaburan diluluskan berjumlah RM20 bilion, melebihi sasaran tahunan RM10 bilion di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Hasil pelaburan sudah tentu tidak dapat dilihat di dalam waktu yang singkat terutamanya kepada taraf kehidupan rakyat, tetapi apa yang lebih penting menurut Sanusi ialah keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur tempatan dan asing terhadap apa yang ditawarkan oleh negeri ini. Ia melambangkan tahap integriti yang telah ditekankan di setiap peringkat pentadbiran kerajaan negeri.