Kelantan : PAS menggesa parti politik Melayu dan NGO-NGO Melayu Islam supaya bersama di dalam perjuangan demi umat Islam di negara ini.
Melalui kenyataan Naib Presiden PAS, YB Dato Hj Mohd Amar bin Abdullah, parti itu rungsing dengan permasalahan umat Islam di negara ini yang semakin dihimpit oleh pelbagai cabaran.
PAS mengingatkan bahawa 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan sebelum ini merupakan titik hitam bagi pentadbiran negara kerana PH menggugat status quo negara Malaysia, dan prinsip asas tunjang negara.
Oleh sebab itulah, PAS menggerakkan usaha maufakat dengan UMNO dan NGO-NGO Melayu untuk menguatkan akar politik Melayu Islam. Beliau juga konsisten mengatakan PAS pernah memberi sokongan kepada Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohammad untuk terus kekal demi kepentingan Islam dan atas prinsip kestabilan kerajaan.
PAS sekali lagi mengulangi pendirian menolak konsep ‘khemah besar’ yang dihasratkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU15 yang akan datang. PAS fokus kepada agenda perpaduan ummah.
“PAS tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Bersatu untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam”, ujarnya di akhir kenyataan tersebut.