Semalam Malaysia digemparkan sekali lagi dalam Titah Diraja di Dewan Negeri Johor semalam, DYMM Sultan Johor Sultan İbrahim İbni Almarhum Sultan Iskandar yang berkata Kerajaan Persekutuan tidak menunaikan janji serta gagal melaksanakan projek dengan baik seperti jalan-jalan Persekutuan di Johor yang berlubang dan rosak, tidak cukup kemudahan asas di hospital kerajaan, dan keadaan Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) yang daif dan uzur di Bangunan Sultan Iskandar, sehingga berkata ‘jangan sampai Johor keluar dari Malaysia’.
Hari ini, kenyataan tersebut di sambut oleh Adun Perling dan juga merupakan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, berkata masanya sudah tiba untuk bersuara dari Sabah dan Sarawak hingga ke Pulau Pinang, dan kini Johor, negeri-negeri yang tidak berpuas hati dengan pemusatan kuasa dan sumber di tangan Kerajaan Persekutuan kerana ia menjejaskan pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
Malaysia pada asalnya dibentuk sebagai sebuah persekutuan tetapi kini kuasa semakin dikawal penuh oleh Kerajaan Persekutuan. Baru-baru ini, Persatuan Undang-Undang Sabah dan Pakatan Harapan Sabah telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan kerana gagal memenuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi 40% hasil negeri kepada Sabah.
Sentimen di Sarawak yang menentang Kerajaan Persekutuan semakin menjadi-jadi terutamanya sejak PRu14 kerana rakyat merasakan sumber negeri tidak diagihkan dengan adil, dan Kerajaan Persekutuan pula dilihat tidak prihatin serta gagal memenuhi aspirasi, kebimbangan, dan keperluan rakyat Sarawak secara menyeluruh di tambah retorik yang dimainkan oleh ahli politik.
Chin Tong menambah Kerajaan Pulau Pinang dan Kelantan beberapa kali telah menyatakan negeri masing-masih dianaktirikan semata-mata kerana berbeza pendirian politik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Sewaktu pembentukan Malaysia, cukai pendapatan tidak menjadi sumber hasil utama berbanding hari ini. Pada zaman dahulu, memberikan kuasa kepada negeri untuk menguruskan tanah dan sumber asli sudah dianggap mencukupi. Tetapi, setelah beberapa dekad, hasil negara telah bertambah berkali ganda berikutan perkembangan ekonomi, terutama dalam kutipan cukai korporat dan cukai pendapatan. Apabila hasil bertambah, peranan dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan turut bertambah”, katanya.
Semasa era “pemerintahan satu parti” UMNO-Barisan Nasional, Menteri Besar atau Ketua Menteri UMNO merupakan lantikan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Dengan itu, semua pemimpin negeri berada di bawah telunjuk Perdana Menteri/Presiden UMNO yang akhirnya memindahkan semua kuasa kepadanya.
Pilihan raya umum ke-14 mencatatkan sejarah apabila dominasi UMNO-Barisan Nasional serta penguasaan penuh Perdana Menteri telah ditumbangkan, dan ini membuka jalan untuk satu bentuk tawaran baharu yang boleh dibincangkan, menurut Chin Tong.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu juga menjunjung titah Baginda Sultan Johor, yang mengatakan Kerajaan Persekutuan telah mengutip RM13 bilion hasil daripada Johor tetapi hanya menyalurkan kembali peruntukan yang kecil kepada negeri. Menurut rekod, pada tahun 2020, melalui kaedah lama “geran per kapita”, Johor menerima RM47.82 juta daripada peruntukan persekutuan manakala pemberian penyelenggaraan jalan negeri pula ialah RM626.42 juta. Jumlah keseluruhan yang diterima oleh Johor daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020 hanyalah RM888.97 juta, iaitu jumlah yang kecil berbanding jumlah cukai yang dikutip daripada hasil negeri.
Chin Tong menyarankan bahawa masanya sudah tiba untuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri berunding semula untuk mewujudkan federalisme yang lebih adil dan seimbang, yang akan dapat menyumbang kepada kehidupan yang lebih makmur dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.
Pada 30 Mei lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah mencadangkan pembentukan Suruhanjaya Perhubungan Antara Persekutuan dan Negeri untuk mengkaji usaha bagi memberi lebih kuasa dan sumber kepada negeri-negeri.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu juga mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri untuk menjalin kerjasama rasmi dan tidak rasmi di kalangan negeri serta mewujudkan mekanisme untuk menyelaraskan isu-isu yang melibatkan persekutuan dan negeri.
Di Johor pula, Chin Tong sebagai pihak wakil pembangkang Johor, telah menulis surat kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 19 Mei lalu untuk mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri yang berperanan untuk :
1. Memulakan serta menyokong Resolusi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Suruhanjaya Perhubungan Antara Persekutuan dan Negeri bagi mengkaji tawaran baharu berhubung perkongsian kuasa dan sumber untuk sistem federalisme Malaysia untuk 50 tahun akan datang. Suruhanjaya ini perlu membentangkan laporannya pada akhir tahun ini.
2. Menteri Besar Johor menerajui usaha mengajak semua negeri yang berminat untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri bagi menyeleras dan menetapkan agenda baharu perkongsian kuasa dan sumber di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Ini akan dilaksanakan berasaskan kesediaan mana-mana negeri yang berminat dan berkesanggupan tanpa perlu menunggu semua negeri menyertainya. Mana-mana negeri yang merasakan hubungan di antara Pusat dan negeri tidak adil patut menyertai jawatankuasa ini untuk menzahirkan satu Tawaran Baharu yang lebih seimbang dan adil.
3. Dewan Negeri Johor menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi merealisasikan titah DYMM Sultan Johor untuk memperkasakan federalisme dan kuasa negeri.