Gombak : Selepas Datuk Seri Zuraida Kamaruddin keluar dari Bersatu, ada desas-desus mengatakan bahawa tidak lama lagi Datuk Seri Azmin Ali juga akan turut melakukan perkara yang sama. Namun hari ini pendapat itu disangkal oleh kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Gombak itu sendiri.
Pertama sekali beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana keyakinannya ke atas Azmin di dalam memimpin parti Bersatu. Azmin memuji Muhyiddin akan keberjayaan dalam pakej rangsangan ekonomi, keputusan pantas program vaksinasi besar-besaran semasa wabak Covid19 melanda negara.
Azmin juga menekankan bahawa Bersatu adalah parti perjuangan asas dari identiti orang Melayu dan Bumiputera bagi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu serta agama Islam. Bersatu juga berani merubah demi masyarakat majmuk Malaysia melalui keputusan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan kaum-kaum lain menyertainya.
“Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya”, tegasnya. Beliau berjanji akan terus bergerak bersama ahli-ahli Bersatu untuk membangunkan negara dan mempunyai kerajaan bersih, tulus dan berintegriti.
“Sesungguhnya Bersatu wadah unggul untuk rakyat Malaysia”, ujarnya di akhir kenyataan media tersebut.
(Datuk Seri Azmin Ali)
Pada Ogos 2020, Azmin serta sembilan lagi Ahli Parlimen mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mereka merupakan pemimpin sebahagian besarnya dianggotai serpihan PKR dan diterajui kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai G10.