Kuala Lumpur 17 Jun: Presiden Bersatu dan juga bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menafikan beliau pernah menerima wang dari syarikat Ultra Kirana Sdn bhd (UKSB), syarikat yang sama disebut di mahkamah yang memberi wang ‘sumbangan politik’ kepada ahli-ahli politik tertentu.
Muhyiddin menafikan menerima wang tersebut antara bulan Jun dan Ogos 2018 kerana semasa waktu tersebut beliau menjalani pembedahan kanser dan telah mengambil cuti selama beberapa bulan bagi mendapatkan rawatan susulan.
Difahamkan sewaktu itu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Muhyiddin menegaskan tidak pernah menerima secara langsung atau tidak langsung wang dari David Tan, saksi dari Syarikat UKSB, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.
Beliau mahu pihak pendakwaan menjelaskan perkara ini kepada umum untuk mengelakkan fitnah terhadap dirinya dan berkata dirinya bersedia untuk disoal siasat oleh SPRM mengenai perkara ini.