KERAJAAN Persekutuan mesti kukuh dan kuat. Ini sangat penting untuk kelestarian negara. Ini kunci dan pra-syarat diperlukan untuk negara makmur dan kekal berdaya tahan selain berupaya melalui cabaran serta mampu menyertai persaingan yang berjaya dengan negara jiran mahupun serantau dalam era teknologi baharu.
Kerajaan Persekutuan perlu kembali fokus. Selain meredakan keresahan dan memulihkan kelesuan rakyat, kekuatan dan tekad Kerajaan Persekutuan amat kritikal untuk melaksanakan pembangunan baharu yang diperlukan bagi mendokong dan memacu ekonomi, industri serta kehidupan digital.
Ternyata, senario politik dalam negara telah menjejaskan rantaian proses pembangunan sosioekonomi. Prestasi dan sikap pemimpin Pusat dalam tempoh beberapa tahun ini turut menyebabkan wujud bibit perubahan dalam hubungan dan sokongan dua hala antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Pada masa sama, ketidakstabilan itu memudarkan keyakinan antarabangsa khususnya dalam konteks diplomatik serta pelaburan.
Semua ini berlaku apabila politik Malaysia melalui fasa baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018. Kerajaan Persekutuan yang dipimpin lebih 60 tahun oleh UMNO selaku peneraju Barisan Nasional (BN), telah ditumbangkan oleh gagasan Pakatan Harapan (PH). Di sini bermula landskap baharu politik negara yang unik dan ‘tidak terfikir dek akal’.
Apabila kerajaan PH memerintah, ada pula tindak-tanduk pemimpinnya tidak disenangi orang Melayu. Bibit ketidakstabilan Kerajaan Persekutuan tercetus dan melarat sehingga akhirnya menyaksikan PH disingkirkan hanya selepas 20 bulan memerintah.
Sejak itu, Kerajaan Persekutuan berdiri dengan daya, kuasa dan majoriti tipis di Parlimen. Kerajaan Persekutuan dibentuk dan memerintah hanya di atas ikhsan sokongan serta kesepakatan yang rapuh. Kesannya, kerajaan kerap diasak dan digugat termasuk oleh rakan komponen sendiri apatah lagi parti lawan di luar.
Ketidakstabilan Kerajaan Persekutuan menyebabkan Perdana Menteri hilang fokus kepada tanggungjawab hakiki iaitu membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat. Sebaliknya, beliau dan barisan Kabinet terpaksa bekerja keras mempertahankan diri dan menangkis serangan rakan serta lawan. Akibatnya, tiga kali Perdana Menteri dilantik dalam tempoh empat tahun.
Semua senario ini mencerminkan tahap ketidakstabilan negara. Ini membentuk horizan kabur dan memberi kesan toksid yang berantai termasuk pada kacamata pemodal sehingga tidak minat melabur atau menokok modal. Sikap ‘tunggu dan lihat’ pelabur membantutkan usaha kerajaan meluaskan pertumbuhan dan mewujudkan peluang kerja dalam ekonomi baharu.
Selain itu, sosioekonomi melemah dan hidup rakyat susah. Pelbagai gejala dan kesukaran muncul. Kesudahannya, rakyat dilanda sindrom lesu dan sakit politik akibat gelagat serta sandiwara pemimpin.
Keadaan ini turut membuka ruang kepada pemimpin parti dan negeri mengemukakan tuntutan atau mengenakan syarat bagi setiap kerjasama atau sokongan yang hendak diberikan. Hal ini terjadi kerana Kerajaan Persekutuan hilang kawalan dan tidak dapat memberi fokus kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
Semalam, titah Sultan Johor yang merasakan negeri itu dianaktirikan Kerajaan Persekutuan pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Titah ini amat penting dan harus membuka mata, telinga dan minda sekali gus menyedarkan pemimpin negara di Putrajaya.
Titah Baginda adalah ekoran keadaan jalan dan bangunan Persekutuan di negeri itu yang tidak disenggara dengan baik selain janji yang tidak ditunaikan oleh Putrajaya termasuk pelebaran Lebuhraya Plus di sebelah Johor.
Seterusnya, atas rasa kesedihan dengan sikap Kerajaan Persekutuan terhadap negeri itu, Sultan Johor menegaskan: “Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia.”
Apakah ini realiti bagi sebuah negeri yang menjadi penyumbang utama ekonomi negara?
Justeru, semua Kerajaan Pusat harus menilai semula semua komitmen kepada kerajaan negeri. Situasi di Johor adalah kesan politiking melampau sehingga Kerajaan Persekutuan lemah dan hilang fokus. Politiking biar bertempat dan berpada. Politiking tidak menjadi isu selagi Kerajaan Persekutuan yang memayungi semua pihak; kekal fokus untuk melunaskan amanah termasuk melakasanakan pembangunan seimbang negeri-negeri.
Kita kini berada dalam era landskap politik baharu. Ia berteraskan prestasi dan integriti. Tiada lagi parti dan kerajaan yang dominan. Struktur Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dalam keadaan goyah dan rapuh berikutan tiada parti yang boleh mendirikan kerajaan sendiri tetapi memerlukan gabungan beberapa parti lain.
Di sini, pemimpin perlu menerima hakikat parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan kini tidak mampu memainkan peranan secara solo melainkan mendapat kekuatan dan dokongan parti lain.
Landskap politik baharu ini menuntut semua pemimpin parti bermuhasabah untuk melakukan pembetulan supaya kembali jujur dan berintegriti. Mereka perlu mengharmonikan perbezaan ideologi serta mendokong kebersamaan demi keutuhan negara dan kepentingan rakyat. Perbezaan politik tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menyekat suara dan hak rakyat mahupun bajet pembangunan sesebuah negeri.
Renungkan iktibar daripada kejatuhan dan perpecahan Soviet Union pada Disember 1991. Kelemahan pemimpin Kerajaan Pusat negara itu menyebabkan keruntuhan blok komunis itu. Tirai Besi dan Tembok Berlin runtuh. Kelemahan bukan sahaja berpunca prestasi dan kewibawaan pemimpin malah disebabkan kesilapan dasar serta cara menyantuni masalah dan menyalurkan keperluan kepada negara yang dinaungi. Keruntuhan itu juga disebabkan kejayaan campurtangan asing di blok tersebut.
Di beberapa negara, pengabaian Kerajaan Pusat terhadap kerajaan negeri atau pembangunan wilayah berlaku di atas sebab seperti tidak sehaluan dalam politik, agama dan kebangsaan. Sikap itu mencetuskan semangat penduduk di wilayah terlibat untuk bangkit menyatakan tidakpuas hati dan menuntut hak mereka.
Akhirnya perjuangan rakyat yang didokong pertubuhan dan parti politik menjadi gerakan pemisahan atau pembebasan wilayah. Contohnya, di selatan Thailand dan selatan Filipina, selain di China. Mereka menuntut kuasa autonomi dan mahu membentuk kerajaan sendiri dan mahu pengaruh Kerajaan Pusat pada tahap paling minimum.
Bagi Kerajaan Pusat yang sederhana, tuntutan itu mungkin dipenuhi. Tetapi, bagi kerajaan yang merasakan kuasa dicabul dan maruah mereka digugat, tuntutan seperti itu ‘dijawab’ dengan tindakan ketenteraan yang akhirnya membias kepada penduduk setempat.
Semua konflik itu kelihatannya berlarutan. Kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa penduduk tidak dapat dielakkan. Sebarang usaha membangunkan semula kawasan konflik menagih belanja besar.
Susulan keadaan sama di Malaysia, sudah mula nampak ada pihak tertentu di luar memalu gendang memburukan imej dan maruah negara khususnya berkaitan integriti dan ranking rasuah di Malaysia. Media konvensional dan media baharu tertentu digerakkan untuk menyerang serta menggugat keutuhan negara.
Justeru, penting untuk semua pihak mencari jalan untuk mempertahankan sebuah Kerajaan Persekutuan yang utuh, kukuh dan kuat demi kelestarian negara serta kemakmuran rakyat di negara ini. Elakkan pihak ketiga menunggang di atas ketidakstabilan dan memenangi keadaan ini sehingga mereka akhirnya menguasai negara kita.