JAKARTA (15 Jun): Presiden Indonesia Joko Widodo akan mengumumkan rombakan kabinet pada hari Rabu, menurut seorang ahli politik daripada gabungan parti pemerintah yang dipetik dari Reuters.
Bima Arya Sugiarto, ahli Parti Amanat Nasional (PAN) dan Datuk Bandar Bogor, berkata dua menteri dijangka diganti dan pengumuman itu akan dibuat selepas pihak bertemu dengan presiden pada petang Rabu.
Seorang lagi ahli parti gabungan, yang enggan namanya didedahkan kerana faktor sensitiviti isu tersebut, turut mengesahkan rombakan itu akan berlangsung pada Rabu dan dua menteri baharu dan tiga naib menteri baharu akan dilantik.
Spekulasi mengenai perubahan menteri kabinet telah tular sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas beberapa menteri dipanggil ke istana presiden pada hari Selasa minggu lepas.
Antara menteri yang dipanggil ke istana Presiden ialah Menteri Koordinator Ekonomi Airlangga Hartarto, Menteri Perdagangan Muhammad Lutfi, dan Menteri Agraria dan Perancangan Ruang Sofyan Djalil.
Pengerusi PAN, Zulkifli Hasan, dan bekas panglima tentera, Hadi Tjahjanto, adalah antara anggota bukan kabinet yang turut bertemu dengan presiden.
Penganalisis berkata menteri perdagangan itu mungkin antara yang digantikan selepas berada di bawah tekanan politik berhubung pengendalian membendung lonjakan minyak masak domestik.
Menteri Lutfi telah menyalahkan “kartel kelapa sawit” kerana menjejaskan usaha membendung harga minyak masak selepas kerajaan Indonesia membuat larangan mengejut ke atas eksport minyak sawit pada April.
Larangan eksport, sejak ditarik balik, menyebabkan gelombang kejutan di pasaran global dan membawa kepada beberapa siri penangkapan atas dakwaan rasuah selepas peguam negara melancarkan siasatan.
Presiden juga mungkin akan melantik ahli PAN, yang menyertai pakatan pemerintah tahun lepas, kata pemerhati politik.
Tinjauan yang dijalankan oleh Charta Politika, yang dikeluarkan pada hari Isnin dan menemu bual 1,200 orang dari 25 Mei-2 Jun, menunjukkan bahawa 63.1% responden menyokong cadangan untuk merombak kabinet semasa.