PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian bahawa kerusi menteri yang dipegang oleh Datuk Zuraida Kamaruddin adalah kuota parti itu.
Menurut beliau, lantikan Zuraida sebagai ahli jemaah Kabinet sebelum ini juga adalah atas kapasiti parti pimpinannya.
“Semua tahu bahawa keputusan melantik sesiapa itu hak Perdana Menteri dan bila itu berlaku kita akan calonkan nama anggota yang sesuai bagi menggantikan Zuraida,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN), di sini, hari ini.
Sekarang, Zuraida telah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Namun beliau belum melepaskan jawatan sebagai menteri kabinet kerana ingin berbincang dengan Perdana Menteri terlebih dahulu.
Muhyiddin juga memaklumkan, beliau masih menunggu tarikh untuk berjumpa Perdana Menteri bagi menyelesaikan isu pengganti Zuraida.
Pada masa yang sama, Muhyiddin menafikan desas-desus kononnya Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon akan meninggalkan parti mengikuti jejak Zuraida.
Menurutnya, ia satu dakwaan palsu dan beliau sering berbincang dengan Azmin mengenai parti dan masa depan Bersatu.
Desas-desus kuat mengatakan PBM adalah suatu ’tilam selamat’ buat Azmin dan pengikutnya untuk masa depan yang tidak menentu di dalam senario politik tanahair.