KUALA LUMPUR, 14 Jun — Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy akan bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya beliau memberi keterangan sebagai saksi terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan rasuah di sini, kata peguamnya. hari ini.
Peguam Arul Kanda, Datuk N. Sivananthan, memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa anak guamnya — yang kini juga tertuduh dalam perbicaraan yang sama dengan Najib — bersedia untuk berpegang kepada kenyataannya sebelum ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan untuk kes ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bertanya sama ada Arul Kanda bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya dia hadir sebagai saksi dan seterusnya mengesahkan Arul Kanda bersetuju menjadi saksi pendakwaan.
Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 24 Jun sama ada membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan ini, selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan juga peguam bela utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Pada 20 Mei lalu, pihak pendakwaan memfailkan permohonan bertulis mengikut Seksyen 63 Akta SPRM 2009 untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi.
Di bawah Seksyen 63(1), dalam situasi di mana dua atau lebih orang didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM, mahkamah boleh menghendaki seorang atau lebih daripada mereka memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak pendakwaan sekiranya permohonan bertulis dibuat oleh pihak pendakwa raya.
Seksyen 63(3) memperuntukkan bahawa setiap orang yang dituduh di bawah Akta SPRM dan dikehendaki memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan berhak untuk dilucutkan pertuduhan ke atasnya.
Dalam erti kata lain, Arul Kanda boleh dibebaskan dan dilepaskan jika dia memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dan jika Mahkamah Tinggi memutuskannya.
Dalam perbicaraan ini, Najib dituduh sebagai perdana menteri dan kemudian menteri kewangan menyalahgunakan kedudukannya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016 untuk menerima bagi kepuasan diri dalam bentuk perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah atas peranannya dalam pengendalian operasi 1MDB, dengan mengarahkan pindaan kepada laporan ketua juruaudit negara mengenai 1MDB — yang telah pun dimuktamadkan dan sedia untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) badan pemantau parlimen — sebelum akhirnya dibentangkan kepada PAC.
Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib, tetapi pihak pendakwaan pada hari pertama perbicaraan sudah berkata ia akan memfailkan permohonan pada masa hadapan untuk menjadikan Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan pada peringkat perbicaraan yang sesuai.