KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan untuk mengenakan pembatalan ke atas perlawanan seterusnya di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya padang itu tidak dinaik taraf dengan segera.
Ini bermakna AFC tidak akan memberi kelulusan terhadap Stadium Bukit Jalil bagi penganjuran kejohanan peringkat Asia sehingga padang itu dibaikpulih.
Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John yang mengakui kecewa dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilihat rosak selepas ‘dihenyak’ dengan empat perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023.
(Datuk Seri Windsor Paul John)
Windsor terkejut dengan keadaan padang dan dengan tegas berkata jangan menyalahkan hujan. Kesalahan itu patut diletakkan ke atas bahu pemilik stadium tersebut kerana tidak melakukan persediaan kejohanan dengan baik.
Di dalam rekod carian, pemilik Stadium Nasional Bukit Jalil itu ialah Kerajaan Persekutuan Malaysia.
Alatan ceduk air di padang juga tidak sesuai dan telah menjadi bahan jenaka tular di dalam media sosial.
(Foto – Utusan)
Lima hari lalu, tabloid tempatan Harian Metro melaporkan ketidakpuasan hati pasukan-pasukan bolasepak yang bermain di stadium tersebut di dalam kejohanan yang sama.
Pengendali pasukan Bangladesh, Javier Cabrera antara jurulatih yang melahirkan kekecewaan dengan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil. Katanya, venue bagi semua aksi dalam Kumpulan E itu sememangnya cantik di lihat namun padang yang terdapat di stadium berkenaan tidak berkualiti.
Nada sama turut diluahkan pengendali Bahrain, Helio Sousa yang mengakui anak buahnya agak bergelut untuk menyesuaikan diri di atas padang itu. Antaranya keadaan padang yang tidak sama langsung dengan dengan padang yang terbaik yang mereka main. Selain itu lokasi padang yang tidak mempunyai fasiliti untuk pasukan membuat ‘recovery‘ selepas latihan, tetapi setiap pasukan terpaksa membuatnya di hotel penginapan.
Sumbangan Tunku Mahkota Johor untuk upgrade padang stadium tersebut telah pasti, namun ia tidak sempat untuk dilaksanakan sebelum kejohanan AFC ini. Kerja-kerja pertukaran permukaan padang Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini yang dianggarkan menelan belanja antara RM1.2 hingga RM1.4 juta hanya akan bermula seawal Januari tahun depan.
(TMJ bersama Menteri Belia Dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu)
Alasan dan jawapan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi ialah pihaknya sudah mencadangkan perlawanan antara Malaysia menentang Bahrain itu ditangguhkan bagi tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.
Namun Faidz mendakwa penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan sekali gus menyebabkan padang rosak.