KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 8 Jun lalu antara lain membincangkan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Sumber mendedahkan, perkara itu antara dua cadangan yang didakwa dinyatakan sendiri oleh kalangan pemimpin parti tersebut dalam mesyuarat berkenaan.
Menurut sumber, Bersatu mampu menukar kerajaan tanpa pilihanraya jika dapat menarik sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).
Namun umum sedia maklum bahawa kesemua parti-parti tersebut telah menolak untuk membuat ‘khemah besar’ dengan Bersatu. Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir berkata ia boleh dilaksanakan jika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat sama.
Sumber itu berkata lagi bahawa berdasarkan senario politik semasa, jika Ismail Sabri jatuh, tidak pasti siapa pula yang akan menerajui negara. Oleh itu menarik sokongan tidak dilakukan lagi oleh Bersatu.
Berkenaan dengan isu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung pindaan perlembagaan parti dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UMNO bagi membolehkan ia membuat pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas PRU diadakan, Menterinya Datuk Seri hamzah Zainuddin menyerahkan kepada Ismail Sabri untuk membuat keputusan mengenai perkara itu, kata sumber dalaman itu lagi.
Diterima usul itu atau ditolak ROS , kedua-duanya akan mempunyai kesan.