PETALING JAYA: Semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) iaitu cabang penerbangan kumpulan baru, Capital A menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan semua tuntutan bayaran balik akibat pandemik Covid-19 secepat mungkin.
Syarikat penerbangan di bawah AAAGL telah menyelesaikan hampir 99 peratus pertanyaan pelanggan berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8 peratus lagi dalam masa terdekat.
Selain itu, syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX) juga mempunyai rancangan yang kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua tetamu yang terkesan sejak dua tahun lalu berikutan Covid-19, dalam beberapa bulan akan datang.
Pada masa sama, syarikat akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang terbaik melalui pelaksanaan pelbagai inovasi baharu serta teknologi digital terkemuka dalam industri yang akan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas menerusi akaun kredit .
Pengguna boleh  memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama Air Asia kerana PKP telah tamat, menurut kenyataan Tony Fernandes.
Namun, ujarnya, masih ramai yang keliru antara syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group dan syarikat penerbangan AAX dan TAAX yang merupakan entiti berasingan.
Jelasnya, AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa yang menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu.
Bagaimanapun, katanya, kini mereka telah kembali beroperasi dan telah mula membuat bayaran balik kepada para tetamu yang terkesan menerusi baucar perjalanan bersamaan nilai tempahan yang dibuat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benjamin Ismail memberitahu, di bawah skim penstrukturan semula hutang yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini, pihaknya secara sah tidak dapat melakukan bayaran balik melalui tunai kepada pelanggan, hanya melalui baucar yang sah selama 5 tahun ke mana-mana destinasi sama ada jarak sederhana atau jarak jauhi yang akan diumumkan tidak lama lagi.