GEORGETOWN: Konsep khemah besar akan menjadi satu aspirasi politik yang gagal sekiranya dilaksanakan tanpa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, ini kerana kedua-dua parti itu mempunyai pengaruh dan pengikut mereka yang tersendiri dan konsep khemah besar tanpa PKR dan Bersatu tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).
”Khemah besar kalau tanpa dua parti besar (PKR dan Bersatu), bukan satu khemah besar, jadi khemah kecil sahaja.
”Konsep khemah besar ini boleh dikatakan sebagai satu aspirasi politik yang tidak dapat direalisasikan kerana pada masa ini, setiap parti seperti mahu tegakkan kedudukan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, dilaporkan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui hanya kerjasama antara parti-parti politik termasuk pembangkang di bawah khemah besar boleh menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Pejuang menolak khemah besar itu jika ia diterajui sama ada oleh Anwar atau Muhyiddin.
Ini kerana jelas Mahathir, Anwar dan Muhyiddin mempunyai agenda menjaga kepentingan sendiri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, kenyataan Dr. Mahathir itu juga menunjukkan parti-parti pembangkang tidak bersedia untuk bersatu menjelang PRU15.
”Nampaknya masing-masing tidak bersedia untuk bekerjasama kerana setiap parti mempunyai masalah dalaman tersendiri. Konsep khemah besar ini juga saya jangka tidak dapat menumbangkan BN yang ketika ini dilihat berada dalam posisi terbaik untuk menghadapi PRU15,” katanya.
Menurut beliau, PRU15 sesuai diadakan tahun ini memandangkan situasi Covid-19 yang semakin pulih dan ekonomi negara juga mula berkembang.
”Sekarang waktu yang sesuai kerana situasi rakyat berada pada tahap yang baik selepas mengharungi pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun. Jika pilihan raya ditangguhkan kita tidak tahu apa akan berlaku kepada ekonomi dan situasi kesihatan global, jadi saya kira ini waktu terbaik untuk PRU15,” katanya.