PUTRAJAYA: Prosedur pemantauan halal rumah sembelihan di luar negara perlu dirombak semula bagi mengelak kepincangan dalam pematuhan halal oleh mana-mana pihak yang diberi tanggungjawab membawa masuk daging halal ke negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada masa sama, prosedur operasi standard (SOP) badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memastikan tidak ada ruang untuk melanggar syarat sah sembelihan.
Beliau berkata, Jakim wajar menambah jumlah pegawai atase halal di luar negara berbanding hanya seorang pegawai yang dilihat mengambil mudah aspek halal dan haram sehingga boleh membuka ruang kepada isu pelanggaran integriti.
MASALAH
“Soal halal ini menjadi masalah bukan sahaja di Malaysia tapi di merata tempat, ini menjadi masalah, Jakim tak cukup orang. Ada satu pegawai duduk di situ (luar negara), tengok betul atau tidak (pematuhan halal),” katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan status halal rumah penyembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia diragui apabila prosedur sembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Laporan itu dibuat berdasarkan pengakuan terbuka sumber utama bekas penyembelih di rumah sembelihan itu, selain bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih.
Berhubung Suruhanjaya Patuh Syariah, Dr. Mahathir berkata, pelbagai nama dan bentuk boleh ditukar, namun ia akhirnya tidak akan berjaya jika pihak yang diamanahkan tidak menjalankan tanggungjawab.
Kata beliau, Jakim sudah mempunyai ‘jentera’ dalam pelaksanaan tugas itu, cuma perlu diperkemaskan dengan aspek penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih tegas supaya pengiktirafan halal Malaysia tidak dipertikaikan mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, banyak negara lain yang memproses daging halal, namun tidak boleh dieksport ke negara ini kerana tidak ada pekerja yang mahu terlibat dalam industri berkenaan.
“Di Jepun umpamanya, dulu tak ada daging halal, sekarang ini ada daging halal diusahakan oleh orang Melayu di sana. Tapi bila dia nak bawa daging itu datang sini jadi masalah. Di sini tak ada pekerja,’’ katanya.