spot_img
spot_img

PM fokus agenda hijau negara

spot_img

KUALA LUMPUR (5 Jun): Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pencemaran alam sekitar ditangani dengan undang-undang yang lebih ketat.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu di sini pada Ahad (5 Jun), Ismail Sabri berkata, sebelum ini kawasan hutan yang diselenggara dengan baik, telah dijadikan tempat pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Justeru, undang-undang berkaitan alam sekitar perlu disegerakan dalam usaha memastikan tiada kes pelanggaran yang boleh membawa kepada kemusnahan alam sekitar.

- Advertisement -

“Sudah lama kita bercakap mengenai undang-undang alam sekitar… namun saya masih belum dapat maklumat yang menyeluruh. Insya-Allah pada hari Rabu (dalam mesyuarat Kabinet) saya akan tekankan bahawa undang-undang alam sekitar ini perlu disegerakan, kerana kita tahu banyak pencerobohan dan sebagainya, berlaku,” katanya.

Ismail Sabri berkata selain itu, rakyat perlu terus menjaga alam sekitar memandangkan dunia kini mengalami perubahan iklim dan kesannya telah pun dirasai.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata banjir besar yang berlaku sebelum ini masih boleh berlaku pada bila-bila masa akibat perubahan iklim.

- Advertisement -

“Seperti yang saya nyatakan, banjir tahun lepas misalnya, banjir yang tidak dijangka malah ada kawasan yang dinaiki air walaupun sebelum ini tidak pernah mengalami banjir. Pada masa lalu, kita boleh menjangkakan Monsun Timur Laut akan berlaku pada bulan November, Disember dan Januari, tetapi kini ini berlaku tanpa mengira masa.

“Di Kuala Lumpur, berlaku banjir kilat. Ini menunjukkan bahawa perubahan iklim telah pun bermula dan dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita menjangkakan ia akan menjadi lebih teruk lagi,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertemakan “Only One Earth” sekali lagi menjelaskan pelan tindakan dan usaha transformasi kerajaan untuk jangka pendek dan panjang dalam menghadapi perubahan iklim global.

Beliau berkata sasaran kerajaan termasuk meningkatkan bahagian kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 31% dan kadar kitar semula sebanyak 40% menjelang 2025, selain mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada simpanan hutan negara.

Bagi merancakkan agenda hijau negara, Ismail Sabri berkata kerajaan juga menetapkan sasaran untuk mencapai status negara neutral karbon melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sasaran Malaysia Mampan 2030 dan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik..

“Komitmen negara melalui pelaburan sifar atau rendah karbon dan teknologi hijau dijangka menarik pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi hab pelaburan hijau,” katanya.

Ismail Sabri turut menghargai usaha masyarakat tempatan yang berusaha membangunkan alam sekitar agar lebih hijau seperti yang dilakukan menerusi projek komuniti Kebun-kebun Bangsar dan Kebun-kebun Kerinchi.

“Menariknya, kebun sayur ini diurus menggunakan dana masyarakat sendiri untuk mendidik dan menggalakkan penglibatan orang ramai dengan tanaman yang turut dikongsi bersama golongan kurang berkemampuan.

“Konsep memperkasa masyarakat inilah yang ingin saya kembangkan bagi merealisasikan agenda hijau negara. Justeru, saya mahu agensi kerajaan berkaitan membantu terutama memudahkan urusan dan memberi bantuan yang diperlukan,” katanya.

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img