Putrajaya 5 Jun : Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berusaha untuk formula satu lawan satu bagi menentang Barisan Nasional melalui kerjasama atau persefahaman pilihanraya (electoral – pact) dengan parti-parti politik lain pada PRU15 akan datang.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang ini, beliau juga menafikan bahawa dirinya sedang melobi bagi mendapat sokongan ahli-ahli parlimen untuk membolehkan dirinya menjadi Perdana Menteri semula.
Muhyiddin mengakui bahawa ada perjumpaan di antara pemimpin-pemimpin parti politik bukan BN untuk mewujudkan formula satu lawan satu selepas kekalahan PN dan PH di PRN Melaka serta Johor.
Beliau menegaskan bahawa BN menang di kedua-dua negeri itu bukan kerana kekuatan BN tetapi kerana pecahan undi dari parti-parti yang menentang BN. Undi kepada BN juga tidak bertambah. Inilah keyakinan bagi Presiden Bersatu tersebut untuk berusaha mengadakan ‘satu khemah besar’.
Muhyiddin mahukan electoral-pact ini berasaskan satu perkara bahawa kleptokrat harus disekat untuk kembali berkuasa. “Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini”, ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Sebelum ini terdapat kenyataan dari kepimpinan Warisan, Pejuang, PKR dan DAP yang menolak untuk kembali bekerjasama dengan Bersatu kerana pengalaman ‘pedih’ Langkah Sheraton.
Namun begitu, Muhyiddin mengambil pendekatan terbuka dengan pendapat masing-masing dan Bersatu sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada PRU15 nanti.
Untuk rekod, kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri adalah atas kerjasama sokongan ahli-ahli parlimen PN dan BN.