SEPANG, 5 Jun — Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG – Malaysian Aviation Group) akan memperluaskan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF – sustainable aviation fuel) untuk kumpulan anak syarikatnya antara enam bulan hingga ke satu tahun, kata ketua pegawai kelestarian tenaga MAG Philip See.
Beliau berkata terdapat beberapa perbincangan berterusan pada masa ini untuk memastikan semua organisasi bersedia dengan apa yang menjadi sebahagian daripada komitmen syarikat untuk mencapai pembangunan sosio-ekonomi serta mencapai pelepasan karbon sifar yang bersih menjelang 2050.
“Kami masih dalam perbincangan tetapi jawapannya ya. Kami merancang untuk melancarkan penerbangan penumpang dan kargo kami (menggunakan SAF).
“Kami menjalankan ujian senario hari ini untuk memastikan anak syarikat kami bersedia untuk itu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan penerbangan penumpang pertamanya menggunakan SAF antara Kuala Lumpur dan Singapura sempena Hari Alam Sekitar Sedunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) di sini.
Dikuasakan oleh SAF, penerbangan Malaysia Airlines MH603 berjaya berlepas pada tengah hari.
Bahan api itu dibekalkan oleh anak syarikat pemasaran dan perdagangan Petronas yang berpangkalan di Eropah, Petco Trading (UK), manakala Petronas Dagangan Bhd (PDB) bertanggungjawab ke atas pengendalian produk dan pengisian minyak.
Teknologi bahan api baharu itu dihasilkan oleh pengeluar SAF terbesar dunia Neste menggunakan 100 peratus sisa boleh diperbaharui dan bahan mentah berasaskan sisa seperti sisa lemak haiwan.
Mengenai sama ada penggunaan SAF akan menjejaskan harga tiket, See berkata harga dipacu pasaran berdasarkan permintaan.
“Pada masa ini, harga tidak akan terjejas. Harga akan mengikut permintaan penerbangan,” kata See.
Untuk penambahbaikan industri, negara dan masa depan alam sekitar, beliau menggesa semua penumpang untuk menyertai syarikat itu bagi mengambil langkah yang perlu bagi meminimumkan kesan alam sekitar, sambil menambah bahawa SAF akan menjadi sumber bahan api yang lebih bersih dan berdaya maju untuk penerbangan biasa menjelang 2025 .
“SAF telah digunakan oleh 40,000 penerbangan di seluruh dunia; kebolehlaksanaannya sebagai pilihan bahan api yang lebih bersih dan berdaya maju terbukti,” katanya.
Sementara itu, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif PDB Azrul Osman Rani berkata kedua-dua syarikat akan bersama-sama meneroka peluang yang berpotensi untuk memajukan kemampanan, termasuk pembekalan dan penggunaan SAF di KLIA.
“Kami juga akan menyasarkan untuk mengukuhkan kesedaran tentang kemampanan penerbangan melalui strategi komunikasi dan kesedaran alam sekitar pengurangan pelepasan karbon,” katanya.
Azrul Osman berkata PDB kini sedang menilai pembangunan terancang bagi kilang penapisan bio greenfield dan brownfield serta pemprosesan bersama di kemudahan Petronas sedia ada untuk berada pada kedudukan yang baik untuk membekalkan SAF di peringkat domestik dan antarabangsa. — Bernama