Tindakan yang amat tidak bijaksana ini telah mendatangkan lebih banyak masalah kepada projek yang sudah cukup dengan masalah tersendiri.
- Advertisement - Seharusnya, ketika itu, kerajaan PH menjalankan siasatan tentang ketirisan tetapi pada masa yang sama mencari penyelesaian untuk memastikan kapal dibina mengikut garis masa yang dipersetujui.
Sebaliknya, kerajaan PH bersikap gopoh dengan mengambil jalan mudah untuk memberhentikan projek bernilai RM9 bilion berkenaan yang sudah siap lebih 50 peratus ketika itu.
BESI BURUK
Bayangkan, jika kita sedang membina sebuah bangunan, tapak sudah diperkukuh, tiang seri sudah dibina, tiba-tiba projek diberhentikan serta-merta. Tiada sebarang hala tuju ditetapkan kerajaan PH, bagaimana untuk bergerak ke hadapan?
Bagaimana pula dengan nasib subkontraktor yang terlibat dalam projek tersebut, adakah akan mendapat bayaran untuk khidmat mereka? Apa jadi pada ceracak di tapak pembinaan yang dibiar berkarat dan menjadi besi buruk?
Apabila Hishammuddin mengumumkan keputusan Jemaah Menteri meneruskan projek LCS, pemimpin PH yang bertindak memberhentikan projek itu cuba pula untuk memutarbelitkan kenyataan dengan menyalahkan kerajaan hari ini kerana menyebabkan projek LCS lewat disiapkan.
Sememangnya, keputusan kerajaan PH untuk memberhentikan sesuatu projek besar dan strategik, tanpa mempunyai hala tuju bagaimana untuk menyelesaikan masalah untuk terus bergerak ke hadapan merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Sebenarnya, proses menghidupkan kembali projek ini memakan masa. Namun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan kerajaan hari ini yang berani membuat satu keputusan yang sukar dengan begitu teliti.
Kita dapat melihat banyak sesi perbincangan dan libat urus dijalankan oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mencari jalan keluar daripada kemelut ini.
Kesungguhan pihak-pihak ini harus dipuji. Mereka tidak berpeluk tubuh menyalahkan pihak-pihak lain, malah terus bekerja mencari ikhtiar untuk menyelesaikan masalah demi negara. Ini adalah manifestasi kepimpinan yang bertanggungjawab.
Dengan wujudnya Pelan Pemulihan Projek LCS dan jawatankuasa khas yang memantau projek ini, saya amat berharap agar segala permasalahan sebelum ini dapat diatasi dengan teratur dan telus.
Mereka yang bersalah melakukan penyelewengan perlu ditangkap dan dihukum. Hutang yang tertunggak kepada vendor perlu dibayar sesuai perjanjian asal.
Kos projek perlu dikawal dengan baik dan garis masa harus dipatuhi. Elemen tadbir urus yang baik harus diterapkan. Wang rakyat jangan dibazirkan. – UTUSAN
IR. HAMDAN ZAKARIA, Kuala Lumpur