PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengiktiraf sebarang sekatan unilateral ke atas mana-mana negara, melainkan resolusi sekatan itu dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
“Ini sentiasa menjadi prinsip Malaysia. Jika ada sekatan ia perlu melalui PBB, dan jika resolusi itu diluluskan oleh PBB maka sebagai ahli PBB anda perlu menghormati dan mematuhinya,” katanya kepada media dalam temu bual khas di majlisnya di sini.
Menteri itu mengulas mengenai sekatan antarabangsa yang meluas yang dikenakan oleh Barat dan sekutunya ke atas Rusia berikutan perang berterusan negara itu dengan Ukraine.
Mengenai konflik Rusia-Ukraine, Saifuddin berkata Malaysia mengekalkan pendirian tidak menyebelahi dengan mana-mana pihak tetapi pada masa sama tidak bersetuju dengan sebarang pencerobohan oleh mana-mana negara yang mengancam kedaulatan negara lain.
Malaysia mahu Rusia dan Ukraine untuk menamatkan konflik ini.
Mengulas lanjut mengenai kesan sekatan ekonomi Barat terhadap rakyat Malaysia khususnya pelajar yang menuntut di Rusia, Saifuddin berkata buat masa ini, kebajikan dan keselamatan mereka dijaga.
Buat masa ini, rakyat Malaysia di Rusia masih boleh membuat transaksi kewangan melalui perkhidmatan Union Pay. Walau bagaimanapun, bank Rusia yang menjalankan perkhidmatan Union Pay terhad kepada tiga bank sahaja setakat ini.
Tambahnya, Kementerian Luar memantau dengan teliti keadaan itu dan ia sentiasa menerima maklum balas mengenai perkembangan terkini mengenai kesan konflik Rusia-Ukraine daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Setakat ini terdapat 816 rakyat Malaysia di Rusia. Mereka terdiri daripada 779 pelajar dan 37 ekspatriat.