Elon Musk berkata semalam Twitter Inc akan sentiasa percuma untuk pengguna biasa tetapi mungkin mengenakan sedikit bayaran untuk pengguna komersial dan kerajaan, kerana billionaire itu cuba meningkatkan jangkauan platform media sosial daripada “niche” kepada majoriti rakyat Amerika.
“Twitter akan sentiasa percuma untuk pengguna kasual, tetapi mungkin akan kenakan sedikit kos untuk pengguna komersial/kerajaan,” kata Musk dalam tweet.
Twitter enggan mengulas lanjut apabila dihubungi Reuters.
Pengasas syarikat Tesla itu telah mencadangkan satu perubahan kepada Twitter sejak bulan lepas. Selepas membeli Twitter dan memasukkannya dalam “koleksi perniagaannya” baru-baru ini, Musk berkata dia mahu meningkatkan platform itu dengan ciri-ciri baharu, menjadikan algoritma Twitter sebagai lebih terbuka untuk meningkatkan kepercayaan, menghalang spam dan memastikan penggunanya manusia (bukan robot /automatik).
Bulan lalu, walaupun sebelum mencapai perjanjian jual beli dengan Twitter, Musk telah mencadangkan beberapa perubahan pada perkhidmatan langganan premium Twitter Blue, termasuk mengurangkan harganya.
Awal minggu ini di Met Gala tahunan di New York pada hari Isnin, Musk juga berkata dia akan menjadikan Twitter telus tentang cara tweet dipromosikan dan mahu Twitter bersedia secara terbuka untuk kritikan.