Sila, sebuah syarikat baru dalam pembuatan bahan bateri kereta elektrik yang diasaskan bersama oleh salah seorang jurutera terawal Tesla dan disokong oleh Mercedes-Benz, sedang membina sebuah kilang berskala besar di Washington untuk membuat anod bateri yang menggunakan silikon dan bukannya grafit yang akan menyebabkan bateri kenderaan elektrik menjadi lebih cekap tenaga dan, akhirnya, lebih murah.
Syarikat yang berpangkalan di Alameda, California, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gene Berdichevsky, sedang mengubah suai bangunan perindustrian seluas 650,000 kaki persegi di atas tanah seluas 160 ekar di Tasik Moses, Washington, kepada sebuah kilang berteknologi tinggi yang akan menghasilkan bahan anod yang mencukupi untuk bateri sehingga setengah juta kenderaan elektrik setiap tahun dalam fasa pertamanya. Lama-kelamaan kilang yang akan mula beroperasi pada tahun 2024 itu, boleh meningkatkan skala untuk menghasilkan anod berasaskan silikon yang mencukupi untuk bateri bagi berjuta-juta kenderaan elektrik. Kuasa penggerak kilang ini akan menjadi sifar karbon, dibekalkan oleh grid hidroelektrik Washington.
(Gene Berdichevsky)
Pelaburan dalam fasa awal akan berada dalam lingkungan “sembilan angka rendah” dan binaan penuh akan “melebihi $1 bilion,” Berdichevsky memberitahu Forbes, tanpa mengulas lanjut. Syarikat itu berkata Daimler dan BMW akan menjadi pengguna pertama bahannya dalam model kereta elektrik segmen mewah.
“Pertama sekali kami berusaha untuk ketumpatan tenaga yang lebih tinggi,” katanya, menganggarkan bahawa anod Sila menyediakan sehingga 20% peningkatan dalam kecekapan tenaga daripada pek bateri litium-ion semasa yang terbaik apabila anod grafit diganti. Ia juga boleh memberikan waktu pengecasan yang lebih pantas atau boleh mengurangkan kos pek dengan mengurangkan bilangan sel yang diperlukan untuk pergerakkan pada jarak yang sama. “Jika anda mempunyai kenderaan yang mempunyai 1,000 sel di dalamnya dan ia memberikan anda julat yang anda inginkan apabila setiap bateri menyimpan 20% lebih tenaga, anda boleh beralih daripada 1,000 sel kepada 800 sel. Kini kenderaan itu lebih ringan dan lebih murah untuk dibuat.”
Berita rancangan teknologi Sila ini muncul sehari selepas Jabatan Tenaga A.S. berkata ia menyediakan dana persekutuan berjumlah $3.1 bilion daripada Rang Undang-Undang Infrastruktur Bipartisan untuk meningkatkan pengeluaran domestik jumlah bateri dan bahan termaju secara mendadak untuk kereta elektrik dan trak elektrik. Pentadbiran Biden mahu EV (electric vehicle) merangkumi separuh daripada semua jualan kereta A.S. menjelang 2030 dan berharap pengeluaran kenderaan dan bateri A.S. yang diperluaskan akan membantu mencapai matlamat tersebut. Sila berkemungkinan akan memohon sebahagian daripada dana persekutuan itu untuk projek Moses Lake, dan berharap ia akan memenuhi keperluan Jabatan Tenaga AS itu.
Tesla kini merupakan pengeluar bateri EV terbesar di A.S , yang dihasilkan di Gigafactory secara besar-besaran di Nevada dan meningkatkan pengeluarannya di kilang Giga Texas yang baru di Austin yang akan menghasilkan sel bateri dengan lebih banyak, bersama-sama dengan kenderaan. General Motors, Ford, Volkswagen dan pembuat kereta lain telah mengumumkan rancangan untuk kilang bateri baharu, manakala pembekal sel termasuk Samsung, LG dan Panasonic juga meningkatkan pengeluaran mereka AS.
“Pelaburan bersejarah Presiden Joe Biden dalam pengeluaran bateri dan kitar semula akan memberikan rantaian bekalan domestik kami suatu peningkatan yang diperlukan untuk menjadi lebih terjamin dan kurang bergantung kepada negara lain— secara tidak langsung menguatkan ekonomi tenaga bersih negara, mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan menyahkarbonkan sektor pengangkutan,” Setiausaha Tenaga Jennifer Granholm berkata pada hari Isnin.
Berdichevsky ialah pekerja ketujuh Tesla, berkhidmat pada tahun 2004 sebagai jurutera bateri utama untuk Roadster, pengeluaran kereta elektrik pertama Tesla. Apabila ia dikeluarkan, beliau lebih berminat untuk mencari cara baharu untuk menjadikan bateri litium-ion yang digunakannya jauh lebih murah dan efisien. Beliau mengasaskan Sila pada tahun 2011 dan telah mengumpulkan sebabyak $925 juta sepanjang dekad yang lalu, termasuk kira-kira $600 juta pada awal 2021, untuk membangunkan teknologi berasaskan silikonnya dan membiayai fasa pertama kilang di Washington.
Anod adalah salah satu daripada empat elemen utama bateri, bersama dengan katod, bahan pemisah dan elektrolit. Bahan aktif yang disalut dengannya, kebiasaanya grafit, membolehkan arus elektrik mengalir melalui litar luar dan juga membenarkan penyerapan ion litium daripada katod. Pada masa ini, kebanyakan bahan anod untuk sel litium-ion diperoleh dari Asia, kata Berdichevsky.
(Antara sel-sel yang ada dalam bateri kereta elektrik)
“Rancangan ini akan menjadi yang pertama berskala dunia untuk kami. Kami akan menggunakannya sebagai pelan tindakan dan menirunya di A.S. dan kami akan membawanya ke seluruh dunia, termasuk di Asia dan di Eropah,” katanya. “Kami akan bermula dengan menerima pakai dalam kenderaan mewah dengan BMW dan Mercedes … tetapi apabila pengeluaran meningkat, ia akan diterima pakai pada banyak pengeluar kenderaan elektrik lain.”
Bersama Mercedes-Benz, yang merupakan salah satu pelabur Sila termasuk dana dari 8VC, Bessemer Venture Partners, Lembaga Pelaburan Pelan Pencen Kanada, Coatue, In-Q-Tel, Matrix Partners, Sutter Hill Ventures dan T. Rowe Price.