spot_img
spot_img

Bersatu perlu pilih siapa kawan, siapa lawan

spot_img

BUAT pertama kali dalam sejarah politik negara, Barisan Nasional (BN) yang dipimpin bersama UMNO dan 13 parti lain kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tamparan susulan paling hebat yang diterima UMNO adalah kesemua 10 parti komponen meninggalkan BN sejurus selang beberapa tempoh kehilangan kuasa dalam pembentukan kerajaan. Ini kerana sudah hilang keyakinan bahawa BN boleh membantu mereka mencapai cita-cita politik dan kemungkinan juga kerana takut kepada tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas pelbagai sebab.

MIC pada masa itu juga ada ura-ura meninggalkan UMNO sendirian bersama MCA yang masih terkontang-kanting. Malah, ada pemimpin MCA meminta UMNO bubarkan BN walaupun tahu tidak boleh dibubarkan tanpa keputusan konsensus. UMNO tidak pernah memberi apa-apa gelaran tidak manis kepada parti-parti yang meninggalkan BN selepas kekalahan dalam PRU14.

- Advertisement -

Malahan UMNO sentiasa istiqamah dan cuba bangkit daripada igauan kekalahan tersebut akibat dikhianati bukan sahaja oleh kawan tetapi juga rakan komponen dalam BN. Keaiban kekalahan disebabkan permainan persepsi dan manipulasi media sosial menyebabkan UMNO dipandang negatif walaupun jasa bakti parti itu yang memberikan ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin tertentu untuk menang kerusi Parlimen atas tiket BN.

Apa yang mengecewakan, terdapat pemimpin-pemimpin sedia ada bersama UMNO pada masa itu sanggup meninggalkan parti demi kelangsungan agenda politik kepimpinan tertentu dalam PH. Bermula dengan lompatan ahli Parlimen yang menang atas tiket BN ke dalam gabungan PH menyebabkan UMNO semakin hilang sokongan dan hala tuju politik menjadi kabur.

Betapa sakitnya UMNO pada masa itu, tiada siapa yang pedulikan walaupun mereka dahulu adalah kawan dan pejuang UMNO. Tetapi pengkhianatan ini akhirnya terbalik kepada PH apabila sebilangan ahli Parlimen keluar daripada kerajaan sehingga memaksa Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

- Advertisement -

Tindakan yang popular sebagai ‘Langkah Sheraton’ ini menyebabkan runtuhnya kerajaan PH selepas hanya 22 bulan memerintah yang mereka cuba popularkan sebagai Malaysia Baharu. Apabila hal ini terjadi maka kepimpinan PH pada masa itu memberi gelaran kepada golongan yang melompat tersebut sebagai katak.

UMNO tidak pernah gelar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai katak, tetapi pembahas-pembahas PH yang memberi gelaran sedemikian kepada mereka yang dianggap sebagai pengkhianat. Malahan kerajaan ditubuhkan mereka yang memakai nama Perikatan Nasional (PN) digelar kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang. Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, para pembahas tujukan gelaran katak kepada ahli-ahli Parlimen UMNO yang menang atas tiket BN tapi lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

UMNO sejak hari Dr. Mahathir letak jawatan, tidak pernah ubah pendirian supaya PRU diadakan termasuk apabila Muhyiddin letak jawatan supaya dipulangkan kepada rakyat untuk mendapat mandat baharu. Pada pandangan mereka, ia amat penting untuk kestabilan politik dan ekonomi negara.

PRN

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 juga UMNO tidak mengkhianati mana-mana parti dalam komponen PN walaupun berlakunya percaturan tertentu yang menyebabkan UMNO hilang kuasa untuk memerintah Sabah. Sebaliknya UMNO diasak dan dihimpit dengan pelbagai berbagai isu walaupun dalam komponen bersama Bersatu dalam membentuk kerajaan.

Apabila Muhyiddin kehilangan sokongan dan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, maka pemilihan semula untuk pembentukan kerajaan diteruskan tanpa adanya PRU. UMNO menerima hakikat tersebut dan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak menjadi isu dalam parti tersebut. Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik diri daripada dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Tindakan terawal dan signifikan dibuat oleh Ismail Sabri sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri adalah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan parti-parti pembangkang dalam bentuk perjanjian. Dalam MoU tersebut, antara persetujuan yang dicapai adalah dibuat satu akta antilompat parti untuk mengekang perbuatan tidak bermoral tersebut tetapi tidak disekat oleh perlembagaan atas alasan kebebasan berorganisasi.

UMNO sedar jasa beberapa ahli Bersatu yang menjatuhkan kerajaan PH tanpa melibatkan UMNO dan turut menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. Namun, sokongan tersebut dipermainkan oleh Muhyiddin dengan mengutamakan pelantikan bukan pemimpin UMNO dalam Kabinet.

Benar, secara tidak langsung, UMNO turut terhutang budi kepada beberapa ahli Parlimen dari Bersatu yang meninggalkan PH, sekali gus meruntuhkan kerajaan PH dan memberi ruang kepada UMNO menyertai kerajaan. Namun, ini adalah kerana bekas ahli Bersatu itu juga tidak akan ke mana tanpa sokongan 42 ahli Parlimen BN. Melalui peluang ini, UMNO dan BN mampu bernafas lebih lega walaupun tetap dicemburui oleh Bersatu yang tidak berhenti mencari ruang melemahkan UMNO.

Sebenarnya, UMNO mempunyai peluang jauh lebih cerah melalui Muafakat Nasional (MN) yang walaupun masih belum aktif sepenuhnya telah menggerunkan semua lawan. Tetapi keghairahan Pas kepada peluang berkuasa dan jawatan-jawatan ‘menggiurkan’ menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan turut bersama dengan Bersatu membuat pelbagai keputusan yang menyukarkan UMNO.

Walaupun begitu, UMNO tidak menyerang balik sebaliknya hanya mempertahankan diri dengan menjelaskan perkara sebenar. Apa yang dapat diperhatikan kini, UMNO semacam hilang minat untuk berurusan dengan Pas yang tidak tetap pendirian. Sehingga hari ini, MN menjadi tugu penyatuan yang terselubung di bawah timbunan ranting-ranting kering.

Mungkin Bersatu perlu menghentikan serangan ke atas UMNO atau BN sebaliknya memikirkan semula siapakah yang akan menjadi lawan dan kawan pada PRU15 nanti. Apabila MoU yang ditandatangani antara parti kerajaan dengan parti pembangkang bakal berakhir 31 Julai ini dan MoU tidak akan diteruskan lagi, ini bermakna PRU15 mungkin diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya mengikut kesesuaian permainan yang bakal berlaku nanti.

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img