IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan tanah lapangan terbang Seri Iskandar di Perak Tengah dijual semasa beliau sebagai menteri besar.
Menteri Belia dan Sukan itu juga mahu SPRM menyiasat perkara tersebut dan mendedahkan kepada orang ramai mengenai perkara sebenar.
“Saya tak berapa minat nak komen perkara ini, saya dengar masih dalam siasatan SPRM.
“Saya mohon SPRM siasat sedalam-dalamnya dan dedahkan kepada orang ramai tentang kebijaksanaan para pemimpin kita dalam melakukan sesuatu keputusan.
“Tentunya saya wajib bagi kerjasama sebagai seorang rakyat, sesiapa apa juga kalau perlu bantu siasatan, perlu beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Kembara Sahur Peja Bersama Funride di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal meminta semua pihak memeriksa berkenaan isu terbabit lebih jelas.
“Pertamanya saya nak minta semua rakan media sebelum membuat laporan, periksa dulu.
“Orang kata itulah tanah untuk lapangan terbang tetapi kalau itu tanah untuk lapangan terbang apakah ia sudah diluluskan oleh pihak kerajaan Persekutuan dan EPU (Unit Perancang Ekonomi)?
“Adakah kajian impak dan kajian alam sekitar telah dilakukan untuk kita pasti benar-benar di situ kita nak jadikan lapangan terbang,” soalnya.
Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming membangkitkan isu tersebut dalam Persidangan Dewan Negeri Perak apabla mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.
Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, seramai 10 individu termasuk bekas Exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan SPRM berhubung isu itu.
Selain bekas Exco kerajaan negeri, turut akan dipanggil ialah pegawai PKNP, pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG). – UTUSAN