spot_img
spot_img

Bantah jika Jokowi mahu terus jadi Presiden Indonesia

spot_img

JAKARTA: Masih ramai rakyat Indonesia yang belum yakin Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan patuh kepada had dua penggal yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Namun, sejak kebelakangan ini mengenai idea mengenai lanjutan tempoh kuasa Presiden Indonesia terus menjadi bicara utama di republik itu walaupun sudah berulang kali dinafikan Jokowi.

Ini ekoran usaha beberapa tokoh politik di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, yang secara terbuka menyokong dan berusaha ke arah idea berkenaan.

- Advertisement -

Ada yang menyokong namun ada juga menentang, menyifatkannya sebagai tamparan besar kepada demokrasi di negara itu.

Alasan golongan yang menyokong adalah mereka mahu Jokowi, 60, diberi lebih banyak masa untuk memulihkan ekonomi di samping melaksanakan agendanya, yang terjejas akibat penularan COVID-19 sejak akhir 2019.

Antara agenda besarnya termasuk pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta di Pulau Jawa ke Nusantara di Kalimantan Timur.

- Advertisement -

Justeru, penyokong Jokowi mengusulkan dua cara iaitu menangguhkan pilihan raya presiden yang dijadualkan pada Februari 2024 atau meminda Perlembagaan untuk membenarkan beliau bertanding bagi penggal ketiga.

Perlembagaan Indonesia hanya membenarkan seorang presiden berkhidmat bagi dua penggal, setiap satu selama tempoh lima tahun.

Setakat ini, Jokowi mengekalkan sokongan tinggi sejak kali pertama dipilih pada 2014 tetapi tinjauan terbaru oleh firma kaji selidik, Saiful Mujani Research and Consulting, menunjukkan lebih 70 peratus rakyat Indonesia menolak rancangan lanjutan kuasa itu.

Antara tokoh politik menyokong idea itu adalah Menteri Pelaburan, Bahlil Lahadalia, yang menyatakan banyak anggota masyarakat perniagaan berharap pilihan raya 2024 ditunda untuk mengurangkan ketidaktentuan politik dan membantu mendorong pertumbuhan ekonomi negara terbesar di Asia Tenggara itu.

“Mereka (peniaga) baru pulih daripada krisis pandemik, jadi kemungkinan dilanda lagi oleh ketidakstabilan politik bukanlah satu perkara baik,” katanya kepada media.

Memandangkan Perlembagaan Indonesia melarang presiden berkhidmat lebih daripada dua penggal, idea Lahadalia disokong Muhaimin Iskandar, pengerusi Parti Kebangkitan Nasional (PKN), yang mencadangkan penangguhan pilihan raya selama dua tahun adalah paling sesuai.

Pengerusi dua parti politik lain dalam gabungan pemerintahan Jokowi, Parti Amanat Nasional (PAN) dan Golkar, turut menyokong.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan, yang diketahui amat rapat dengan Jokowi, turut menyokong idea itu.

Namun, sekurang-kurangnya lima parti politik, termasuk anggota gabungan pemerintah Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Gerindra dan Parti Demokratik Nasional, menentang penangguhan pilihan raya.

Parti lain yang tidak bersetuju termasuk Parti Demokrat dan Parti Keadilan Sejahtera.

Satu tinjauan pendapat awam baru-baru ini oleh Kompas mendapati 62.3 peratus responden mahu pilihan raya 2024 diteruskan.

Satu lagi yang dilakukan Lingkaran Survei Indonesia mendapati 70.7 peratus responden menentang penangguhan pilihan raya itu.

Justeru, berdasarkan beberapa tinjauan awam itu, rakyat turut menolak penangguhan pilihan raya umum di Indonesia.

Malah, Jokowi sendiri sudah bersuara baru-baru ini selepas beberapa pihak mengkritiknya kerana tidak menyatakan dengan jelas beliau tidak mahu melanjutkan kuasanya.

Beliau hanya mengarahkan Kabinetnya berhenti menyuarakan idea itu dan sebaliknya memberi tumpuan kepada menangani kesusahan ekonomi dihadapi rakyat.

“Jangan sampai ada sesiapa yang bercakap mengenai penangguhan (pilihan raya) atau lanjutan (penggal jawatan presiden). Cukup,” katanya pada satu mesyuarat Kabinet.

Sebelum ini, Jokowi secara konsisten berkata beliau akan mematuhi Perlembagaan.

Idea melanjutkan tempoh khidmat beliau kini mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman terhadap pembaharuan demokrasi yang dimenangi rakyat Indonesia secara susah payah.

Malah, kebimbangan itu mencetuskan bantahan pelajar bukan hanya di Jakarta, sebaliknya diikuti di beberapa bandar besar lain di serata Indonesia.

Presiden kedua Indonesia, Suharto, yang memerintah negara itu selama 32 tahun, sebelum ini diketahui umum selalu menyatakan hasratnya mahu berundur setiap kali satu daripada tujuh penggal jawatannya berakhir.

Namun, setiap kali, ahli elit politik akan merayu beliau untuk kekal dengan kononnya mendakwa ia adalah ‘keinginan rakyat’.

Indonesia sudah menetapkan pilihan raya presiden diadakan pada 14 Februari 2024. – AGENSI

Foto : RTM

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img