KUALA LUMPUR (18 April): E-dagang Asean akan berkembang dari peringkat awal kini kepada peringkat yang lebih matang, dan menjelang 2025, aktiviti membeli-belah dalam talian di Asean dijangka bernilai AS$172 bilion, atau 2.8 kali ganda berbanding 2020.
Memetik laporan ResearchAndMarkets.com “Pasaran Logistik dan Pergudangan Pengedaran ASEAN- Pertumbuhan, Trend, Kesan Covid-19, Dan Ramalan (2022 – 2027)” pada Jumaat (15 April), BusinessWire berkata pada 2020, Asean telah mempunyai peningkatan sebanyak 40 juta pengguna internet, menjadikan jumlah pengguna internet kepada 70% daripada penduduk rantau ini.
Laporan itu berkata Asean mempunyai populasi muda yang besar, dan pertumbuhan KDNKnya yang tinggi telah meluaskan kelas pertengahan dengan pantas, yang merupakan berita baik untuk sektor runcit rantau ini, yang dijangka berkembang pada kadar tahunan 5% menjelang 2025.
Ia berkata pengguna mula membeli barangan berharga tinggi dalam talian dengan tahap kepercayaan yang jauh lebih tinggi apabila perniagaan e-dagang semakin matang.
Sementara itu, laporan itu berkata pasaran perindustrian Malaysia semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan kadar penembusan e-dagang yang lebih tinggi, yang menyebabkan keperluan ruang penyimpanan meningkat untuk menampung lonjakan penghantaran jarak jauh serta langkah struktur ke arah platform yang saling berhubung danlengkap (omnichannel retailing).
Ia berkata peruncit antarabangsa sedang membangunkan gudang di Malaysia secara progresif untuk meningkatkan masa penghantaran, perkhidmatan pelanggan dan ketersediaan produk. IKEA, Nestle, Tesco, Zalora dan Lazada adalah antara firma global yang melabur dalam hab pengedaran Malaysia untuk mengembangkan bisnes e-dagang mereka di negara ini.
COVID-19 telah mempercepatkan pertumbuhan dalam perniagaan e-peruncitan dalam kedua-dua sektor pergudangan dan logistik, dan pelabur secara aktif melihat kelas aset yang kukuh ini sebagai pelaburan kegemaran sepanjang masa.