BISA Tun Dr. Mahathir Mohamad masih terus ‘dipantau’ oleh bukan sahaja seteru dan pesaing politiknya, tetapi juga bekas orang kuatnya.
Kalau tidak masakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup mengadap Perdana Menteri keempat dan ketujuh ini biarpun dia seperti mana disebut oleh Dr. Mahathir sendiri sebagai: “Saya tak jadi PM kerana Muhyiddinlah, dia tikam belakang. Jadi, saya tak dapat jadi PM, sekarang ini dia nak minta tolong orang (yang) dia (pernah) tikam belakang, tetapi tak mati lagi.”
Begitulah dalam politik. Kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan. Tapi dalam bab bersediakah Dr. Mahathir menerima permintaan Muhyiddin yang meminta sokongan beliau mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, itu sukar dijangkakan jawapannya. Kerana, ini politik. Apa sahaja boleh berlaku. Apa lagi apabila kita berbicara tentang Dr. Mahathir – sukar dibaca apa yang ada dalam pemikirannya.
Turun naik tangga masih mampu dan bertenaga. Paling ketara, kemampuan minda Dr. Mahathir walaupun sendat sesekali, lantas memaparkan fikiran yang masih cerdas.
Lagipun, kisah orang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjumpa dengan Dr. Mahathir bukanlah perkara baru berlaku. Seingat saya, sejak tahun lalu lagi. Pada Mei tahun lepas dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, negarawan itu diajukan tentang cakap-cakap yang bertebar ada satu dua pemimpin Bersatu menemuinya. Dan jawapan beliau: “Sebenarnya (nak) ajak saya masuk Bersatu, tapi saya juga nak mereka keluar dari Bersatu dan sertai kami, Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) pasal bekas orang Bersatu sama-sama dengan saya. Mereka pilih untuk sokong Muhyiddin pasal dapat jadi menteri.”
Dr. Mahathir ketika itupun sudah menjangka nasib yang akan dialami oleh Presiden Bersatu itu. Katanya: “You (Bersatu dipimpin Muhyiddin) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) (melalui Langkah Sheraton, Februari 2020) tak dapat tubuh sebuah parti yang kuat. Cuma dua majoriti saja.
“Jadi, apa yang akan berlaku dalam pilihan raya akan datang, Bersatu akan kalah. Muhyiddin tak akan jadi PM kalaupun dia menang. Pasal orang tak bergantung kepada Muhyiddin untuk nak diri kerajaan. Kalaulah mereka buat parti kerajaan memang dia tak bagi kepada Muhyiddin, jadi Muhyiddin punya term sebagai PM tamat bila pilihan raya diadakan.
“Jadi, saya kata kepada dia orang dalam keadaan yang mana Bersatu akan kalah dalam PRU, tak akan diri kerajaan dan tak akan jadi PM, baliklah kepada kami. Pejuang ini bekas Bersatu,” demikian masih tergiang-giang di telinga akhbar ini dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu.
BACAAN TEPAT
Demikianlah ‘bacaan’ Dr. Mahathir, yang kebetulannya terbukti tepat hari ini. Bersatu gagal dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November 2021; Sarawak (18 Disember 2021) dan terbaharu 12 Mac lalu dalam PRN Johor.
Dalam banyak hal, Dr. Mahathir ‘tak beritahu dunia.’ Malah dipercayai beliau mengeluarkan pandangan satu perempat sahaja. Yang tiga perempat lagi disimpannya ‘untuk masa hujan, tengkujuh, masa panas.’
Tidak sahaja Muhyiddin, Datuk Seri Najib Tun Razak, waima mereka yang pernah menjadi timbalan perdana menteri kepada beliau pun sukar membaca fikirannya.
Contoh epik adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Dalam banyak situasi berdepan dengan Dr. Mahathir, Presiden PKR itu sering ‘tersalah kira.’ Barangkali pada Julai 2018 lagi – setelah dua bulan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) – sudah boleh buat perkiraan akan jadi PM kelapan atau sebaliknya.
Entah macam mana agaknya Anwar terlena dengan hayunan, ‘jangan gaduh, akan dapat. Kita dah buat keputusan, saya akan serahkan kuasa kepada anda.’
Buaian itu kalau dikira sudah 11 kali. Tetapi ramai maklum Dr. Mahathir tidak akan beri kuasa Perdana Menteri kepada Anwar secara normal. Jika begitu, kenapa Anwar tidak terasa? Dengan kebijaksanaan yang meluas dengan perjuangan begitu hebat, retorika yang berapi tidak dapatkah mengesan? Saya kira harus dikesan tetapi Anwar tidak ‘mengesannya.’ Ada beberapa ketika PH waktu berkuasa boleh sahaja memaksa Dr. Mahathir tetapi itu tidak dilakukan. Pada 2019, presidential council bermesyuarat, malah di situ telah dibayangkan yang Dr. Mahathir ‘kena turun.’ Namun, tiba-tiba Anwar sendiri melembutkan diri hingga tidak lagi meneruskan tuntutannya.
Jadi, ia terus menjadi teka-teki yang sangat besar. Tetapi kita orang Melayu Islam mengatakan itu bukan rezeki Anwar.
Begitulah jua pada malam 9 Mei 2018 itu BN tumbang, bukankah ia waktu terbaik untuk Anwar menjadi Perdana Menteri kerana PKR memiliki kerusi Parlimen terbesar dalam PH? Waktu itu pun kerusi Bersatu masih kecil bila menang pilihan raya dan ‘sepatutnya’ Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terus sahaja mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Tetapi ramai tidak mengerti kenapa Wan Azizah tidak berbuat begitu.
MAHATHIRISME
Dan Tan Sri Dr. Rais Yatim pernah berkongsi dengan Utusan Malaysia tentang rahsia 28 Februari 2020.
Kata tokoh yang pernah bekerja dan berkhidmat dengan semua Perdana Menteri itu, tarikh berkenaan menjadi bukti Dr. Mahathir boleh menukar pendirian atas sesuatu perkara yang amat penting untuk negara.
“Tun (Mahathir) beritahu saya dan seorang lagi yang bersama saya bahawa beliau hanya dapat 66 perakuan Akuan Bersumpah (SD) daripada ahli-ahli Parlimen…fakta yang disembahkan kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Kalau dengan keadaan itu, katanya, biarlah Muhyiddin terus jadi PM.
“Selesai…saya keluar bilik itu dan kemudian menyampaikannya kepada Muhyiddin melalui emissary (utusan) yang terdekat. Malang, keesokannya juga Dr. Mahathir dilaporkan hendak semula jawatan PM.
“Saya hilang cara logik untuk berinteraksi, malah saya semacam mati akal. Itulah bukti bahawa Dr. Mahathir boleh tukar pendirian atas sesuatu hal yang begitu penting.
Mula-mula setuju melepaskan posisi PM kepada Muhyiddin. Kemudian beliau tukar pendirian.
“Saya tidak mengerti bagaimana bertukarnya proses pemikiran bekas PM interim kita itu selepas 28 Februari,” katanya.
Dan apabila Muhyiddin menemui Dr. Mahathir, adakah rakyat akan dihidangkan dengan satu dua lagi babak menarik dalam gelanggang PRU15?
Walaupun telah menjangkau usia emas 96 tahun, Dr. Mahathir ataupun lebih tepat Mahathirisme – jika istilah tersebut boleh digunakan untuk menerangkan segala berkaitan Mahathir – seolah-olah meresap dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Mahathir menjadi Mahathirisme dalam banyak cara. Beliau mempunyai cara sendiri dalam melakukan sesuatu. Tidak ramai yang mempunyai kehebatan pemikiran dan kekuatan jasmani untuk mencapai apa yang telah beliau capai.
Zulkifli Jalil – Utusan Malaysia