KEDAH (28 Mac): Sime Darby Bhd dan Porsche hari ini melancarkan Cayenne pemasangan tempatan pertama untuk pasaran domestik.
Pelancaran itu diadakan semasa perasmian kilang pemasangan pertama untuk kenderaan Porsche di luar Eropah iaitu di kemudahan pengeluaran dan pemasangan kenderaan Sime Darby di Kulim, Kedah.
Kemudahan pemasangan tempatan menggariskan komitmen Porsche kepada Malaysia serta rantau ASEAN, dan menunjukkan dedikasi Sime Darby untuk mengembangkan keupayaan pemasangan bernilai tinggi sebagai elemen penting pertumbuhan untuk perniagaan motornya, menurut kenyataan bersama syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kumpulan itu berbesar hati dengan keyakinan berterusan Porsche terhadap Sime Darby kerana ia menyampaikan produk yang memenuhi standard kualiti, prestasi dan pengalaman pemanduan tertinggi Porsche.
“Kemudahan itu, yang 100% dikendalikan oleh rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan kami merentasi rantaian nilai automotif di Malaysia, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat,” katanya.
Albrecht Reimold, ahli lembaga eksekutif untuk pengeluaran dan logistik di Porsche, berkata tapak pemasangan baharu di Malaysia memenuhi keperluan pasaran khusus dan beroperasi bersama rangkaian tapak pengeluaran Porsche yang ditubuhkan di Eropah.
“Secara khususnya, ia memenuhi piawaian kualiti komprehensif yang ditetapkan oleh Porsche apabila memasang kereta sport Porsche. Oleh itu, kemudahan pemasangan baharu bukan sahaja penanda aras dalam kecekapan dan kualiti, tetapi juga untuk pengeluaran jangka masa panjang (mampan),” kata Reimold.
The Edge Market – Syafiqah Salim