SERDANG (3 Mac): Penggubalan rang undang-undang larangan merokok dan memiliki produk rokok termasuk rokok elektronik (vaping) bagi mereka yang lahir selepas 2005 masih dalam peringkat kajian, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata walaupun berharap untuk membentangkan akta baharu itu pada sidang Parlimen sekarang, terdapat beberapa peringkat pembabitan yang perlu dijalankan termasuk dengan badan bukan kerajaan dan pemain industri.
“Apabila semua proses ini selesai, akta itu akan dibentangkan sama ada pada sesi ini atau sesi akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Mendengar Sedunia 2022 di sini pada Khamis (3 Mac).
Khairy pada 17 Feb mengumumkan pengenalan akta yang bertujuan mengurangkan pendedahan generasi akan datang kepada rokok dan produk tembakau kerana pengambilan produk tembakau adalah punca utama kanser, menyumbang 22% daripada kematian akibat kanser.
Dalam perkembangan lain. Khairy berkata kementerian sedang mendapatkan nasihat undang-undang pada masa yang sesuai untuk membentangkan laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas mengenai kebakaran Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru kepada orang ramai.
“Adalah hasrat saya untuk membentangkan laporan itu. Tiada sebab untuk kami merahsiakan perkara ini kerana kami sedang mencari masa yang sesuai,” katanya.
Dalam kebakaran pada 25 Okt 2016, enam pesakit maut apabila unit rawatan rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat itu terbakar, manakala seorang lagi pesakit, dua jururawat dan pelatih fisioterapi cedera selepas terhidu asap.
Ditanya mengenai kekurangan tempat letak kereta di kemudahan kesihatan kerajaan, Khairy berkata kementerian sedang mengkaji cadangan untuk membina bangunan parkir bertingkat bagi menyelesaikan isu itu.
“Ini adalah isu utama. Sejak saya dilantik sebagai menteri kesihatan, saya menerima banyak aduan mengenai perkara itu. Kami sedang mengkaji cadangan bangunan tempat letak kereta bertingkat. Ia akan lebih selesa untuk pesakit dan pengunjung hospital kerajaan,” katanya.