Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hasil dividen yang dikatakan tinggi yang diumumkan oleh KWSP semalam adalah hasil pelaburan dari luar negara.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.45 bilion dan 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM6.27 bilion, menjadikan jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion.
Menurut Najib, hasil pelaburan itu adalah semasa beliau mengambil keputusan untuk mengembangkan pelaburan KWSP ke luar negara.
“Keputusan saya masa itu adalah berdasarkan saiz dana KWSP semakin menghampiri RM1 trilion (naik dari RM300b sebelum saya jadi PM) manakala jumlah nilai kesemua syarikat tersenarai di Bursa masa itu adalah RM1.7 trilion – bermakna ruang bagi KWSP untuk mencari pulangan yang baik dalam pasaran tempatan semakin sempit. Sebab itu jika mahu pulangan yang lebih baik maka KWSP perlu diberi kelonggaran di pasaran luar negara”, ujar Najib.
Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP berjaya mengekalkan kestabilan dan berdaya tahan untuk tahun 2021.
Beliau berkata, sebahagiannya adalah kerana KWSP mempunyai kedudukan portfolio yang kukuh dan pelaburan yang pelbagai di peringkat global.
“Untuk 2021, KWSP sudah mengimbangi semula dan mengurus portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh pada harga yang menarik, selain memanfaatkan pelaburan luar negara, yang menyumbang 56 peratus kepada pulangan keseluruhan.
Menurutnya, Ekuiti, khususnya ekuiti tersenarai luar negara yang merekodkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 10.44 peratus, terus menjadi penyumbang pulangan utama.
Beliau berkata, aset luar negara KWSP adalah penyumbang kritikal kepada prestasi keseluruhan, di mana kepelbagaian kelas aset, pasaran, dan mata wang memberikan kestabilan kepada pendapatan dan nilai tambah kepada keseluruhan pulangan KWSP.
Menurutnya, setakat Disember 2021, sekitar 37 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah di luar Malaysia dan merentasi pelbagai kelas aset.
Sebelum itu, Najib dikritik teruk dahulu kerana membenarkan KWSP untuk melabur di Amerika Syarikat pada tahun 2017.
Ungkapan Najib kepada Presiden Trump bahawa Malaysia akan “bantu perkukuh ekonomi AS” telah menjadi cemuhan pembangkang dan rakyat Malaysia ketika itu. Menurut Najib, ia adalah kenyataan diplomasi antara kedua-dua negara.
Najib juga cuba menepis kritikan itu dan menjelaskan bahawa pelaburan KWSP di Amerika Syarikat akan menaikkan pulangan dividennya dan sebarang pelaburan KWSP di luar negara akan perlu mengikuti SOP yang ketat.