KUALA LUMPUR, 17 Feb — Kes Covid-19 di kalangan kanak-kanak meningkat 160% antara minggu pertama dan kedua Februari tahun ini berikutan gelombang Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata terdapat 6,524 kes pada minggu epidemiologi kelima tahun ini, yang meningkat kepada 16,959 kes pada minggu berikutnya.
“Pendaftaran PICKids masih di bawah satu juta buat masa ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Khairy juga berkata sudah ada 46,164 kes melibatkan kanak-kanak pada tahun ini, dengan 29,384 dalam kategori lima hingga 11 tahun dan selebihnya dalam kumpulan baru lahir hingga empat tahun.
Khairy sekali lagi merayu agar ibu bapa segera memberi vaksin kepada anak-anak mereka, dan berkata kementerian akan meneruskan program kesedaran untuk menekankan kepentingan vaksin itu.
Majikan juga diseru untuk memberi masa kepada pekerja mereka bagi menghantar anak mereka diberi vaksin. Butiran boleh dilihat di bawah aplikasi MySejahtera pekerja mereka.