LONDON (10 Feb): Platform pertukaran mata wang kripto utama dunia, Binance akan membuat pelaburan AS$200 juta dalam Forbes, lapor syarikat media itudan mereka bersedia untuk mendedahkan maklumat lanjut kepada umum akan urusniaga itu melalui syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC – special purpose acquisition company).
Pelaburan oleh Binance yang merupakan platform matawang kripto terbesar di dunia (mengikut jumlah dagangan) akan memenuhi separuh daripada AS$400 juta dalam komitmen pemerolehan yang telah diumumkan oleh Forbes dan syarikat SPAC Magnum Opus Acquisition Limited.
Perjanjian itu dijangka selesai pada akhir Mac, kata Forbes dan Magnum Opus dalam satu kenyataan.
Forbes berkata pada bulan Ogos lalu bahawa ia akan mengumumkan kepada umum melalui SPAC, dalam usaha untuk membina peralihan digitalnya dan mengejar peluang selanjutnya untuk pertumbuhan syarikat.
“Urus niaga dengan Magnum Opus dan Binance dijangka membantu Forbes memaksimumkan nilai jenama dan perniagaannya,” kata syarikat itu.
Binance akan membantu menasihati Forbes mengenai aset digitalnya dan strategi “Web3”, tambah mereka, merujuk kepada versi internet yang masih belum direalisasikan di mana aplikasi dan mata wang kripto berasaskan blockchain digunakan secara meluas.
SPAC ialah syarikat khas yang mengumpul wang dalam tawaran awam permulaan (IPO – initial public offering) dan meletakkannya dalam akaun dana amanah untuk tujuan pemerolehan dengan syarikat swasta dan membawanya kepada penyenaraian awam.
Pada Februari tahun lalu, Binance telah menggugurkan tuntutan mahkamah terhadap Forbes. Pada 2020 Binance menyaman Forbes dan dua wartawannya kerana memfitnah berhubung artikel pada bulan Oktober tahun itu yang diterbitkan oleh majalah berkenaan berkenaan struktur korporat Binance.
Dua eksekutif kanan Binance — Ketua Pegawai Komunikasi Patrick Hillman dan Bill Chin, ketua cabang modal terokanya — akan menyertai lembaga pengarah Forbes apabila selesai urusniaga itu, kata kenyataan tersebut.
“Saya boleh mengesahkan kebebasan editorial Forbes akan dikekalkan, dan bebas sepenuhnya daripada Binance,” kata jurucakap Binance Simon Matthews kepada Reuters.
Pada hari Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif Binance Changpeng Zhao menghantar tweet cerita CNBC mengenai urusniaga itu kepada 5.1 juta pengikutnya. Dia kemudiannya menyiarkan emoji ibu jari sebagai membalas kiriman yang mengatakan “perlu menetapkan naratif yang betul untuk membuang berita palsu”.