Buat pertama kali dalam sejarah Johor, pilihanraya negeri datang awal sebelum pilihanraya umum. Juga perlu diingat bahawa Johor telah mencatat sejarah, menyaksikan tiga Menteri Besar hanya dalam masa 4 tahun ini.
Johor merupakan negeri utama sebagai penyumbang keluaran dalam negara kasar (Gross Domestic Product). Keteguhan ekonomi negeri ini di beberapa sektor telah membantu ekonomi negara secara tidak langsung.
Walaupun mengalami pertumbuhan yang negatif pada tahun 2020 akibat Covid19, PRN kali ini diharap akan memastikan kesinambungan pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Beberapa projek yang telah dicadangkan untuk kemudahan pergerakan rakyat Johor – Singapura seperti Rapid transit System (RTS) dan Iskandar Rapid Transit akan mengubah ekonomi Johor. Tetapi pada Januari 2018 hanya RTS dipersetujui bersama kerajaan Singapura.
Selepas pilihanraya umum lalu, projek itu juga telah digantung oleh kerajaan Pakatan Harapan dan disambung semula pada tahun 2019. Malangnya ia tergendala selepas itu akibat wabak Covid19 melanda.
Pada tahun 2020, projek RTS ini disambung semula oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengangkutan awam berada di bawah kuasa kerajaan persekutuan, kerajaan negeri hanya memainkan peranan yang kecil dalam menjayakannya.
Namun tanpa bantuan dan sokongan kerajaan negeri dari segi tanah dan perlaksanaan projek, ia akan menjadi sesuatu yang sukar.
Dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, projek yang baru bermula ini akan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Jadi pilihanraya negeri ini amat penting kerana pentadbiran baru yang menang kelak harus meneruskan RTS ini dan menjadikannya kenyataan.
Projek Iskandar Rapid Transit pula akan menjadi tulang belakang pengangkutan awam di Iskandar Malaysia. Projek ini diumumkan oleh kerajaan pusat dengan dana bernilai RM1 bilion manakala selebihnya daripada kerjasama sektor awam-swasta.
Bas mobilus telah melalui fasa percubaan tiga bulan di Medini, Iskandar Puteri, pada bulan April tahun lalu. Johor Bahru akan mempunyai tiga laluan landasan untuk menghubungkan utara, timur, dan barat bandaraya ini. Jadi pilihanraya ini amat penting untuk pentadbiran baru meneruskan projek ini hingga siap.
Iskandar Malaysia diuruskan oleh tiga Majlis Perbandaran iaitu; Majlis Bandaraya Johor Bahru, majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Di dalam Iskandar Malaysia juga merangkumi sektor pelabuhan iaitu Tanjung Pelepas yang merupakan pelabuhan ke 2 terbesar di Malaysia selepas Port Klang.
Dengan kepadatan penduduk sebanyak 2 juta orang di kawasan ‘jajahan’ Iskandar Malaysia, ia memerlukan suatu sistem pengangkutan awam yang sistematik dan maju.
Dengan kehadiran projek-projek baru seperti Coronation Square Johor Bahru, projek pembangunan Medini dan Puteri Harbour serta pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Senai  – Johor akan berkembang sebagai kuasa ekonomi serantau atau setidak-tidaknya negeri termaju di Malaysia.
Projek ini semua akan dinikmati oleh rakyat Johor.
Jadi kita berharap supaya pilihanraya negeri buat pertama kali di negeri ini akan membawa pentadbiran baru yang akan membawa kisah kejayaan dan kemajuan negeri Johor.
WAHAB JUMRAH
Kuala Lumpur