NEW YORK, 31 Jan — BlackBerry Ltd akan menjual paten asasnya yang berkaitan dengan peranti mudah alih, pemesejan dan rangkaian tanpa wayar dengan harga AS$600 juta (RM2.5 bilion) kepada syarikat tujuan khas yang dibentuk untuk memperoleh aset paten syarikat itu.
BlackBerry berkata urusniaga dengan syarikat itu, Catapult IP Innovations Inc, tidak akan memberi kesan kepada penggunaan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan sedia adanya.
Langkah itu dibuat beberapa minggu selepas BlackBerry menamatkan perkhidmatan untuk telefon pintarnya yang suatu ketika amat popular, dipakai oleh eksekutif, ahli politik dan ramai peminatnya pada awal tahun 2000-an.
Dengan urusniaga tersebut, Blackberry akan menerima wang tunai $450 juta dan nota hutang sebanyak AS$150 juta.
Blackberry terkenal dengan telefonnya yang menyediakan papan kekunci fizikal QWERTY kecil dan perkhidmatan pemesejan segera iaitu BBM. Kini perniagaan teras BlackBerry ialah keselamatan siber dan perisian yang digunakan untuk pembuat kereta.