spot_img
spot_img

Indonesia bakal pintas Malaysia dengan Nusantara

spot_img

‘Nusantara’ mengikut Kamus Dewan Bahasa bermaksud kepulauan Melayu; kenusantaraan hal yang berkaitan dengan nusan­tara. Secara am, istilah ‘nusantara’ mengikut kefahaman umum merangkumi wilayah yang dahulu disebut sebagai Kepulauan Melayu.

Kepada rakyat Indonesia, ‘nusantara’ merujuk kepulauan di bawah republik itu. Perkataan lama Jawa itu selalunya merujuk wilayah yang ditakluki empayar Majapahit yang kini menjadi Indonesia moden.

Terdapat 17,500 pulau di bawah jajahan takluk Indonesia. Jadi, apabila Presiden Joko Widodo (Jokowi) memilih Nusantara sebagai nama ibu kota negara baru republik itu di Kalimantan Timur bagi menggantikan Jakarta ia sangat bermakna kepada negara dengan 272 juta penduduk itu.

- Advertisement -

Apa yang aneh, pembangunan ibu kota baharu itu dibuat seperti langkah Malaysia membangunkan Putrajaya.

Menurut laporan berita dari negara jiran itu, Nusantara dipilih daripada lebih 80 nama yang dibentangkan kepada Jokowi. La­po­ran berita menyatakan ahli bahasa, sejarah, dan pakar lain dipanggil bagi memberi maklum balas bagi nama baharu ibu kota Indonesia.

Apa yang akhirnya mendorong kepada pemilihan ‘Nusantara’ kerana ia menggambarkan geografi dan kepelbagaian budaya dan etnik, konsep kesatuan dan penerimaan kepada masyarakat majmuk yang menjadikan negara itu unik. Itu yang mahu diberitahu kepada dunia.

- Advertisement -

Keputusan Jokowi itu mempunyai signifikan yang besar kepada rantau ini. Nama ‘Nusantara’ adalah pengesahan keluasan dan pengaruh Indonesia. Ia menggambarkan pengaruh republik itu dalam era moden seperti ketika empayar masa dahulu.

Indonesia yang dilihat jauh di belakang Malaysia telah berkembang pesat. Jiran Malaysia itu adalah ekonomi ke-16 terbesar di dunia berdasarkan keluaran dalam negara kasar nominal. Ekonomi republik itu bernilai AS$1.15 trilion tahun lalu.

Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dengan nilai AS$371 bilion di bawah Singapura pada kedudukan ke-38, Filipina (ke-37), dan Thailand (ke-26).

Apa yang berlaku di Indonesia sejak 20 tahun lalu menyaksikan negara itu melonjak dengan pantas. Ada mungkin mengatakan bahawa kemajuan dan kemakmuran di republik itu tidak menyeluruh. Tetapi apa yang ada di Indonesia adalah sumber mineral, jumlah penduduk 270 juta yang merangsang ekonomi domestik dan semangat nasionalisme serta kesetiaan kepada bendera merah putih.

Seperti juga China empat dekad dahulu, Indonesia dijangka menjadi pengaruh ekonomi utama dunia. Satu unjuran menjangkakan Indonesia akan mencapai nilai AS$10 trilion menjelang 2050 dan menjadi ekonomi keempat terbesar dunia.

Dalam tiga dekad lagi, Indonesia akan menjadi lima kuasa ekonomi paling besar di dunia. Ibu kota kuasa ekonomi besar itu adalah Nusantara. Ia seperti mengembalikan republik itu kepada era kegemilangan empayar Majapahit.

Walaupun apa dikatakan, Jokowi telah memulakan perjalanan republik itu ke era kegemilangan. Hanya kepincangan pengurusan dalam 30 tahun lagi akan menggagalkan impian itu.

Negara Asia Tenggara lain harus sedar kebangkitan Indonesia. Ia bukan lagi negara mundur. Malaysia membazirkan 20 tahun dengan kebodohan dan kepincangan ahli politik.

Ketika ahli politik Malaysia bercakap mengenai itik patah kaki, maruah lompat parti, percaturan siapa patut berkongsi katil untuk tubuh kerajaan, Indonesia sudah memberitahu dunia eranya telah bermula dan Nusantara adalah ibu kotanya.

  • Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img