BERLIN — Jerman menyalahkan muflisnya perniagaan limbungan kapal di negara itu ke atas pemiliknya sendiri, iaitu syarikat Malaysia, Genting Group. Genting dikatakan enggan memberi suntikan kewangan bersama dengan pelan menyelamat syarikat itu daripada kerajaan Jerman.
Syarikat limbungan kapal, MV Werften di timur laut Jerman, yang dibeli oleh Genting pada tahun 2016, memfailkan perlindungan muflis pada Isnin lepas setelah menghadapi masalah kewangan berhubung pembinaan kapal persiaran yang besar.
Kerajaan Jerman sebelum ini berkata mereka bersedia untuk membincangkan pelan penyelamat yang bernilai 600 juta euro ($678 juta) yang akan melindungi 1,900 pekerjaan.
Pada masa yang sama, pegawai kerajaan Jerman mahu Genting, yang dimiliki majoriti oleh jutawan Malaysia Lim Kok Thay, menyumbang sekurang-kurangnya 10% kepada nilai kos menyelamat itu.
“Kerajaan Jerman melakukan segala-galanya untuk menghalang penutupan MV Werften demi untuk menyelamatkan pekerjaan,” kata Menteri Ekonomi Robert Habeck kepada agensi berita Jerman dpa. “Bagaimanapun, pemiliknya menolak tawaran bantuan kami; maka mereka fail permohonan muflis.”
Habeck menganggapnya sebagai “berita pahit” untuk pekerja-pekerja di Mecklenburg-Western Pomerania yang sudah tertekan dari segi ekonomi.
Dpa memetik beliau berkata bahawa kerajaan persekutuan dan negeri akan terus membincangkan masa depan limbungan itu dalam beberapa minggu akan datang.
Genting Hong Kong, sebahagian daripada Kumpulan Genting merupakan pemilik langsung limbungan kapal itu, telah bergelut dengan perniagaannya akibat kesan wabak koronavirus ke atas perniagaan perkapalannya.
Masalah kewangan syarikat itu juga mencetuskan permohonan insolvensi pada Isnin lepas bagi sebuah lagi limbungan kapal yang dimilikinya di Jerman, Lloyd-Werft di Bremerhaven.